Monday, March 9, 2009

Volvo S40 Mewah yang mampu dimiliki


Reka bentuk Volvo S40 lebih segar dan sporty.


BILA membeli sebuah kereta Volvo, anda akan memilikinya sepanjang hayat. Ini menjadi slogan kereta buatan Sweden yang sebenarnya bermaksud, sekali anda membeli dan memandu Volvo, anda tidak akan berubah ke jenama lain.

Harapan tersebut bukan sesuatu yang mustahil. Jika selama ini kereta-kereta kontinental atau Eropah dikaitkan dengan harga yang mahal, Volvo memiliki kelebihan untuk menawarkan harga berdaya saing menerusi operasi pemasangan tempatannya (CKD).

Sebelum ini, harga tanpa insurans Volvo S40 ialah RM181,500 tetapi kini ia berharga RM169,500 sebuah.

Pada harga sedemikian, S40 memberi saingan langsung kepada jenama-jenama Jepun seperti Toyota Camry dan Honda Accord, sedangkan S40 sebenarnya bertarung dengan kereta seperti Audi A4 dan BMW 3 Series.

Inilah sasaran Volvo dalam memecah dominasi jenama Jepun dalam segmen sedan eksekutif.

S40 diperkenalkan di pasaran global pada 1995. Generasi keduanya pula ialah pada 2004 dan telah disenaraikan oleh Forbes sebagai kereta mewah terbaik bagi pemandu muda.

Ia juga telah diundi sebagai kereta paling popular di kalangan wanita dalam segmen kereta mewah di pasaran Amerika Syarikat, menurut J.D Powers & Associates.

S40 memaparkan reka bentuk bergaya, dengan ciri-ciri keselamatan dan premium yang sinonim dengan Volvo. Rupa depannya telah diberi sentuhan baru yang mirip kepada Volvo S80 dan V70 yang baru.

Muncung depannya kini lebih panjang 3 milimeter berbanding versi sebelum ini manakala jeriji depannya diberi nafas baru yang memberi penekanan kepada cita rasa mewah.

Bamper belakangnya juga telah direka semula dan unik hanya untuk model S40 dan V50. Bamper tersebut 6mm lebih panjang berbanding versi sebelumnya.

Logo Volvo, yang dipanggil `simbol besi', kini 50 peratus lebih besar dan dipasang bukan sahaja pada jeriji tetapi juga rim roda dan alat kawalan jauh. Lampu depannya juga merupakan rekaan baru, baik daripada segi bentuk dan saiz.

Versi 2009 ini dilengkapkan lagi dengan teknologi Bluetooth, rim roda 16 inci, lampu kabus, kerusi boleh dialih secara elektronik dan sistem stereo enam pembesar suara dengan enam penukar cakera.

Yang lebih penting, S40 kekal dengan ciri keluasan ruang kabinnya yang terhasil daripada reka bentuk kerusi yang ergonomik.

Volvo juga menawarkan pakej aksesori yang merangkumi sistem navigasi boleh alih Garmin, bodykit, set pedal sports dan dua jenis pilihan rim aloi 18 inci.

Daripada segi keselamatan, S40 dilengkapkan dengan Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS), Sistem membrek anti kunci (ABS), Edaran Tenaga Membrek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti dan Terjahan (STC) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA) yang dipasang sebagai ciri standard dalam kereta ini.

Selain beg udara berkembar di kabin depan, S40 juga memiliki beg udara di sebelah sisi dan ‘tirai’ beg udara berukuran penuh, serta kaedah mengurangkan tekanan kepala semasa pelanggaran.

Kebetulan semasa sesi pandu uji penulis perlu menghadiri sebuah acara di Litar F1 Sepang. Namun, tiada kesempatan memandu uji di litar. Tetapi lebuh raya yang luas dan lurus sepanjang perjalanan, menjadi medan terbaik untuk menguji kelajuan.

Harus dinyatakan, enjinnya tidak menawarkan perwatakan sebuah kereta sports tetapi ia menawarkan pemanduan yang lancar dan cukup selesa.

Dengan kapasiti enjin 2,435 cc kereta ini menggunakan enjin 5 silinder, twin cam 20 injap dengan CVVT yang menjana 170 kuasa kuda pada 6,000 revolusi per minit (rpm) manakala kuasa terjahan ialah 230 Newton Meter pada 4,400 rpm menerusi sokongan transmisi automatik lima kelajuan beserta Geartronic.

Sistem gantungan S40 adalah tegap, menjadikan permukaan jalan yang berombak-ombak dari KLIA ke Kuala Lumpur tidak menganggu tumpuan pemanduan. Kereta ini sesuai untuk eksekutif yang tenang dan bukan berdarah gemuruh.

Mungkin, faktor ini bakal menarik lebih ramai pemandu wanita memilihnya. Satu faktor tambahan ialah, S40 menawarkan kapasiti but yang besar iaitu 357 liter dan kerusi belakangnya boleh dilipat 60/40. Bayangkan kemudahan semasa membeli-belah.

Memiliki Volvo bukan lagi sesuatu yang sukar. Ia bukan sahaja menawarkan harga berdaya saing yang mampu dimiliki tetapi pada masa yang sama, memaparkan ciri-ciri kereta mewah yang pasti menguntungkan.- utusan

No comments: