SHAH ALAM - Selangor merentap rekod gah Kelantan yang kebal dalam enam perlawanan apabila menundukkan pasukan Pantai Timur itu 3-0 pada perlawanan Liga Super yang dicemari insiden membaling objek oleh kedua-dua penyokong pasukan di Stadium Shah Alam, semalam.
Jaringan seawal minit keempat R. Surendran dan gol hasil sepakan bebas D. Surendran pada minit ke-69 menjulang skuad K. Devan.
D. Surendran sekali lagi menambah derita Kelantan dengan gol ketiga dan penutup pada minit ke-90.
Ia merupakan kekalahan 'atas padang' pertama skuad bimbingan Peter Butler yang sebelum ini kehilangan tiga mata apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan kemenangan percuma kepada KL PLUS.
Akibat aksi tegang, dua kad merah dilayangkan, pertama kepada pertahanan Selangor, Khairul Anuar Baharom pada minit ke-40 diikuti penjaga gol Kelantan, Halim Napi minit ke-70.
Kekecohan tidak sahaja dalam padang tetapi juga di tempat duduk penonton apabila penyokong kedua-dua pasukan saling membaling objek termasuk botol air mineral dan kerusi tempat penonton yang dicabut.
Kejadian yang hampir mencetuskan kekecohan itu tercetus sejurus gol kedua Selangor, bagaimanapun keadaan berjaya ditenteramkan daripada menjadi lebih buruk oleh sepasukan anggota polis dan pengawal stadium.
Insiden itu merupakan kemuncak kepada insiden membaling botol air dan mercun di sepanjang perlawanan yang disaksikan hampir 40,000 penyokong kedua-dua pasukan.
Malah, tempat duduk petugas media juga menjadi sasaran.
Keadaan tersebut menyebabkan para petugas media terpaksa mencari perlindungan.
Keadaan yang semakin tidak terkawal menyebabkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menyaksikan perlawanan meminta penyokong supaya bertenang.