Thursday, March 12, 2009

Kos tambang udara Khir Toyo lebih RM300,000

SHAH ALAM 12 Mac — Kos tambang perjalanan udara bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ke luar negara dari September 2001 hingga Januari tahun lepas berjumlah RM349,134 yang melibatkan 21 perjalanan.

Antara destinasi luar negara yang dikunjungi oleh beliau ialah London, Bangkok, Beijing, Los Angeles, Dubai, Osaka, Tokyo, Seoul, Taipei, Paris, Perth, Milan, Venice dan Amsterdam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata statistik itu berdasarkan rekod waran perjalanan udara yang diperoleh daripada Pejabat Menteri Besar.

Bagaimanapun jelas beliau, jumlah kos seperti penginapan, makanan dan minuman serta lain-lain kos yang berkaitan masih dalam semakan Pejabat Menteri Besar, katanya menjawab soalan Mohamad Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) di Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Azmin bertanyakan jumlah kos perjalanan Menteri Besar ke luar negara yang ditanggung oleh kerajaan negeri bermula dari tahun 2000 hingga sekarang dan siapakah ejen yang menguruskan hal perjalanan Menteri Besar. - Bernama


Boros gila mamat ni! Habis duit rakyat dikebas.

Saya cabar dia ke mahkamah! - Radhi OAG


"SAYA yang cabar dia pergi ke mahkamah." Itulah pengakuan terbaru vokalis OAG, Mohd. Radhi Razali, 32, berhubung punca pergolakan rumah tangganya yang sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu.Menurut Radhi, ketika pertengkaran hebat berlaku antaranya dengan isteri, dia telah terlepas cakap dengan mencabar isterinya, iaitu satu tindakan yang dia sendiri kesali."Biasalah bila tengah 'panas', saya ada cabar dia.


Mungkin sebab itu dia terus ke mahkamah dan membuat tuntutan fasakh."Tetapi saya masih sayangkan dia dan kalau boleh saya tak mahu berpisah dengannya," tuturnya tanpa mahu berselindung.Ini adalah penjelasan pertama Radhi setelah sekian lama mendiamkan diri dan tidak bercakap dengan pihak media yang 'mengejar'nya bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung masalah rumah tangganya yang tiada titik noktah.Radhi sebagai defendan kes itu juga gagal menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya sebanyak empat kali bagi mendengar permohonan yang dibuat oleh isterinya.


Mahu membela diri, menurut Radhi, dia mempunyai alasan kukuh kenapa tidak muncul di mahkamah."Selain sibuk dengan kerja, saya tak pergi mahkamah kerana tidak pernah mendapat sapina yang meminta saya hadir ke mahkamah. Kalau tak ada surat itu, kiranya saya tak diwajibkan hadir," katanya.Selain itu, menurut Radhi, dia tidak mempunyai kekuatan untuk ke mahkamah memandangkan masih menyayangi isterinya dan berharap agar tidak berlaku perceraian antara mereka."Mungkin isteri saya tersilap isi borang untuk meminta saya hadir ke mahkamah. Lagipun bukan saya yang pinta perceraian itu," jelasnya.


Tambah Radhi, sebelum ini mereka pernah dinasihatkan supaya berbaik semula memandangkan mempunyai seorang cahaya mata lelaki, Mohd. Rifdhi Muslim, 4 tahun.Namun, dengan wajah kesal, Radhi memberitahu, sehingga kini dia tidak berkesempatan untuk bertentang mata dengan isterinya untuk berbincang hal berkenaan secara serius."Kami telah berpisah dan tidak tinggal sebumbung sejak 15 bulan lalu. Sehingga kini saya tak dapat nak jumpa dia untuk selesaikan masalah kami. Tetapi nafkah anak, tetap saya jaga.


"Bila masalah ini sudah dibawa ke mahkamah, satu saja yang saya harapkan. Saya harap agar mahkamah mengeluarkan perintah supaya kami tinggal bersama di rumah saya, bukan di rumah keluarga isteri."Selama ini saya tak kisah, mungkin dia mahu belajar tentang hal rumah tangga dengan ibunya, tetapi saya rasa kami kena tinggal sendiri. Saya kahwin kerana dia. Jadi, dia perlu percaya dan memahami kehidupan artis seperti saya.


"Pernah sekali saya cuba praktis di rumah untuk lafaz cerai, tapi setiap kali saya nak ungkap perkataan itu, saya tak sanggup dan tak mahu kehilangannya," ujar Radhi lagi.Radhi yang ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-22 di Finas baru-baru ini sungguh berbeza.Sedikit tidak terurus, malahan badannya pula semakin susut dengan raut wajahnya agak cengkung, Radhi memang dilihat sedang menghadapi masalah.

Pas Kelantan harap BN setuju bentuk kerajaan campuran

KOTA BHARU: Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu masih berharap Barisan Nasional (BN) dapat menerima cadangan pembentukan kerajaan campuran di negara ini.

Beliau berkata cadangan itu, yang dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penting bagi mengembalikan negara kepada keadaan aman dan tenteram.

"Apa yang dicadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah baik untuk negara dan saya yakin masalah yang dihadapi sekarang dapat dikurangkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Takiyuddin berkata, Pas Kelantan pernah menyuarakan perkara itu sebelum pilihan raya umum ke-12 berdasarkan keinginan untuk melihat Kelantan terus maju.

"Bagaimanapun cadangan itu tidak mendapat reaksi Umno sampai sekarang, sekalipun apa yang dicadangkan itu untuk kebaikan rakyat. Kita tidak pernah tutup perbincangan," katanya. - Bernama

Tareq Aziz dipenjara 15 tahun

BAGHDAD: Bekas Timbalan Perdana Menteri Iraq, Tareq Aziz dihukum penjara 15 tahun, makala dua abang Saddam Hussein dijatuhi hukuman mati kerana terbabit dalam pembunuhan berbelas peniaga pada 1992.

Peniaga terbabit dituduh ketika pemerintahan Saddam kerana sengaja menaikkan harga barang kawalan ketika Iraq menghadapi kejatuhan ekonomi selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan ekonomi pada 1990.

"Mahkamah memutuskan Watban Ibrahim al-Hassan dan Sabaawi Ibrahim al-Hassan dikenakan hukuman gantung sehingga mati kerana terbabit dalam pembunuhan ini," kata Hakim Raouf Abdul Rahman.


Sabaawi ketika pemerintahan Saddam menjawat jawatan Ketua Keselamatan Awam manakala Watban adalah Menteri Dalam Negeri.

Ketika keputusan dibacakan, Sabaawi terus berdiri dan menjerit: "Allah Maha Kuasa" dan berkata beliau bangga kerana menjadi seorang hero, sebelum hakim memintanya duduk.

Keputusan perbicaraan itu menyusul kurang dua minggu selepas Tribunal Tertinggi Iraq membebaskan Aziz daripada tuduhan pembabitannya dalam sebarang pembunuhan dan kekejaman terhadap puak Syiah pada 1999. - Reuters

Senarai terbaru 20 terkaya di dunia

NEW YORK: Berikut senarai 20 orang terkaya di dunia 2009yang dikeluarkan Majalah Forbes hari ini:

1. Bill Gates (AS$40 bilion - Microsoft - Amerika Syarikat)

2. Warren Buffett (AS$37 bilion - Berkshire Hathaway - AS)


3. Carlos Slim dan keluarga (AS$35 bilion - Telecoms - Mexico)

4. Lawrence Ellison (AS$22.5 bilion) - Oracle - AS)

5. Ingvar Kamprad dan keluarga (AS$22 bilion - Ikea - Sweden)

6. Karl Albrecht (AS$21.5 bilion) - Aldi - Jerman)

7. Mukesh Ambani (AS$19.5 bilion) - petrokamia - India)

8. Lakshmi Mittal (AS$19.3 bilion) - besi - India

9. Theo Albrecht (AS$18.8 bilion) - Aldi - Trader Joe's - Jerman

10. Amancio Ortega (AS$18.3 bilion) - Zara - Sepanyol)

11. Jim Walton (AS$17.8 bilion) - Wal-Mart, AS)

12. Alice Walton (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart - AS)

13. Christy Walton dan keluarga (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart, AS)

14. S. Robson Walton (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart AS)

15. Bernard Arnault (AS$16.5 bilion) - LVMH - Perancis.

16. Li Ka-shing (AS$16.2 bilion) - Hong Kong.

17. Michael Bloomberg (AS$16 bilion) - Bloomberg, AS)

18. Stefan Persson (AS$14.5 bilion) - Hennes and Mauritz, Sweden)

19. Charles Koch, AS$14 bilion - pembuatan, tenaga - AS)

20 David Koch (AS$14 bilion) - pembuatan, tenaga - AS) - AFP

Pelancaran Discovery ditangguh Ahad


CAPE CANAVERAL: Pelancaran kapal angkasa Amerika Syarikat, Discovery, ditangguhkan sehingga seawal Ahad ini, selepas Nasa mendapati berlakunya kebocoran gas di sistem pengisian tangki luarnya, beberapa jam sebelum berlepas.

“Kami tidak tahu situasi sebenar kebocoran itu sebelum petang Jumaat,” kata Pengarah Pelancaran, Mike Leinbach, sambil menambah cubaan pelancaran seterusnya dijangka antara Ahad atau Selasa.

Ia adalah penangguhan yang mengecewakan bagi Discovery dan anak kapalnya kerana pelancaran itu terpaksa ditunda sebanyak empat kali daripada tarikh asalnya, 12 Februari lalu.


Jurutera Nasa menemui kebocoran itu selepas mereka mula mengisi tangki luar Discovery pada sebelah tengah hari dan masalah itu disedari beberapa jam sebelum masa pelancaran yang ditetapkan iaitu pada jam 9.20 petang.

Tapak pelancaran yang dirancang bertempat di pusat angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat.

Kebocoran ditemui pada injap kawalan tekanan hidrogen di mana ia ditempatkan di tangki minyak luar yang menghala ke atas. - AFP

10,080 calon SPM dapat 10A

PUTRAJAYA 12 Mac – Seramai 10,080 daripada keseluruhan 442,936 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 berjaya memperoleh 10A dengan seramai 347,443 atau 90.8 peratus calon mendapat sijil SPM berbanding 91.1 peratus pada tahun 2007.

Seramai 5,863 calon pula berjaya memperoleh 9A manakala 5,909 calon memperoleh 8A.

Selain itu, seramai 6,277 calon atau 1.6 peratus berjaya dengan cemerlang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 5,060 (1.31 peratus) pada tahun 2007.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu berkata, pada keseluruhannya pencapaian calon SPM adalah membanggakan dan melebihi daripada pencapaian tahun sebelumnya.

“Pencapaian mereka meningkat daripada segi peratusan bilangan memperoleh sijil, mendapat semua A dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki,'' katanya di sini hari ini. - Utusan

Manchester, Arsenal layak ke suku akhir Liga Juara-Juara

MANCHESTER 12 Mac - Manchester United menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan menewaskan Inter Milan 2-0, di Old Trafford, pagi tadi.

Gol United diperoleh menerusi Nemanja Vidic pada minit ke-4 dan Cristiano Ronaldo pada minit ke-49.

Manakala Arsenal terpaksa menunggu sehingga penentuan sepakan penalti apabila terikat 1-1 dengan As Roma, walaupun permainan berlanjutan ke masa tambahan kedua-dua pasukan masih gagal untuk memperolehi kelebihan gol.

Arsenal memperoleh kemenangan dengan keputusan 7-6 selepas sepakan penalti pemain As Roma Tonetto, jauh tersasar. - Reuters

Keputusan

Manchester United 2 - 0 Inter Milan (MU layak dengan agregat 2-0)

Barcelona 5 - 2 Lyon (Barcelona layak dengan agregat 6-3)

Arsenal 1 - 1 As Roma (Arsenal menang penentuan sepakan penalti 7-6)

Porto FC 0 - 0 Atletico Madrid (Porto layak dengan agregat 2-2)

Publisiti Murahan dalam politik


hang pa baca la...
ni ajaran BN oerak kepada rakyat..
tetapi rakyat dah cerdik..
dah tahu penipuan BN..
hang pa akan terima akibat daripada rakyat!
hancur umno!

Cubaan laga istana dengan MB Perlis

Walaupun sudah setahun menerajui pentadbiran kerajaan Perlis, menteri besarnya Datuk Seri Dr Md Isa Sabu terus-menerus menjadi sasaran musuh politiknya.

Terbaru, beliau difitnah melalui satu sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya telah diarahkan oleh pihak istana supaya bercuti panjang.

md isa sabu and supporters in perlis 170308Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, setiausaha politiknya Amier Hassan, berkata fitnah tersebut disebarkan oleh "mereka yang kecewa dan merasakan mereka tersisih".

"Sebenarnya pentadbiran menteri besar sekarang tidak menyisihkan sesiapapun," kata beliau, yang juga seorang peguam.

Bagaimanapun, katanya, masih ada pihak yang tidak berniat baik terhadap menteri besar.

Namun beliau enggan mengulas apabila ditanya mengenai pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut.

"Kita tidak boleh menuduh sesiapa dalam soal ini.

"Perbezaan pendapat dan perbezaan dasar adalah satu perkara yang boleh menjejaskan kestabilan parti jika tidak ditangani dengan teliti," tambahnya.

Cuba kaitkan istana


Amier mengulas lapoaran media mengenai penyebaran SMS yang cuba mengaitkan nama Raja Perlis yang kononnya baginda telah mengarahkan Md Isa bercuti panjang mulai 1 Mac lalu.

Beliau yang turut menerima mesej SMS tersebut awal bulan ini, menyifatkan perbuatan itu sebagai satu fitnah dan pendustaan.

Bagaimanapun, beliau kurang pasti sejak bila SMS itu mula tersebar berhubung isu tersebut.

"Kita juga tidak faham mengapa perkara sebegini harus timbul, walhal pentadbiran menteri besar berjalan lancar.

"Saya tidak nampak apa-apa kekurangan yang wujud (pada pentadbiran Md Isa) setakat ini," kata Amier.

Beliau berkata, Md Isa yang juga ketua Umno bahagian Kangar, meneruskan tugas-tugas beliau seperti biasa.

Menurut Amier, Raja Perlis memberi kepercayaan kepada wakil rakyat Bintong itu untuk mentadbir negeri.

"Tuanku tidak pernah campur tangan dalam urusan politik," katanya sambil menegaskan bahawa sokongan rakyat Perlis kepada Md Isa semakin bertambah. -malaysiakini

Sritharan calon PKR di Bukit Selambau?

Ahli jawatankuasa PKR Kedah, S Sritharan disebut-sebut sebagai calon paling popular untuk mewakili PKR dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Beliau antara empat calon yang telah disenarai pendek untuk ditimbang oleh pucuk pimpinan PKR pusat.

Pemilihan Sritharan dijangka diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.

Manakala akhbar China Press pula melaporkan bahawa Sritharan telahpun dihubungi ibupejabat PKR memintanya untuk membuat persiapan.

Akhbar itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Sritharan dilihat sebagai calon yang paling layak bertanding di situ.

Ini kerana beliau adalah seorang yang peramah, mesra rakyat serta berkhidmat dengan cemerlang sebagai ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Sumber-sumber itu berkata, setiap kali menerima aduan, Sritharan segera turun memberi khidmat kepada rakyat.

Beliau yang berusia 45 tahun menyertai PKR pada November 2007, sudah berumahtangga serta mempunyai dua orang anak perempuan.

Sudah diramalkan

Malah, banyak pihak yang sebelum inipun telah meramalkan beliau akan dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding dalam piliharanraya kecil Bukit Selambau.

Selain Sritharan, beberapa nama lain yang turut menawar diri ialah Dr Krishnamurthy (Ketua Penerangan PKR Sungai Petani), K Masilamani (AJK PKR Merbok), B Kalai Vanar (Ketua PKR Jerai) dan N Gobalakrishnan (ahli Parlimen Padang Serai).

Tiga lagi yang menawar diri ialah seorang pemimpin daripada Hindraf, iaitu RS Thanenthiran. Dua lagi ialah R Muniandi dan Manogaran - kedua-duanya ahli jawatankuasa bahagian Merbok.

DUN Bukit Selambau kosong berikut peletakkan jawatan V Arumugam sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan exco Kedah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi.

Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.

Manakala kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.

Israel larang aktivis Palestin ke Amsterdam


BAITULMAQDIS 11 Mac - Mahkamah Agung Israel semalam mengeluarkan perintah melarang seorang aktivis hak asasi Palestin daripada berlepas ke Amsterdam untuk menerima hadiah bagi pihak pertubuhannya.

Pengarah Al-Haq, Shawan Jabarin berharap dapat berlepas ke Belanda pada Jumaat ini untuk menerima 'Hadiah Geuzenpenning' bagi pihak pertubuhan hak asasi yang berpangkalan di Tebing Barat.

Jurucakap mahkamah Israel, Ayelet Filo, bagaimanapun berkata, Mahkamah Agung memutuskan "terdapat bukti Jabarin terlibat dengan pertubuhan pengganas dan kerana itu dia tidak akan dibenarkan ke luar negara atas sebab keselamatan."

Pada 1985, Jabarin didapati bersalah oleh sebuah mahkamah Israel kerana terlibat dalam kegiatan bagi pihak Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) dan menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan.

Israel meletakkannya dalam tahanan pentadbiran pada 1994 dengan mendakwa beliau masih aktif dalam PFLP.

Jabarin menafikan tuduhan itu.

"Saya menjadi aktivis dalam Al-Haq sejak 1987 dan bukan aktivis untuk Barisan Popular," kata beliau kepada akhbar Israel, Haaretz pada minggu lepas. - AP

Penerbit buku pengebom Bali dikena tindakan

JAKARTA 11 Mac - Indonesia mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat penerbitan yang mencetak buku-buku Trilogi Syuhada ditulis oleh tiga pengebom Bali yang menjalani hukuman mati pada tahun lepas.

Amrozi, saudara lelakinya Mukhlas dan Imam Samudra menulis buku masing-masing di dalam penjara, sebelum mereka bertiga menjalani hukuman tembak sampai mati pada November lepas kerana terlibat dalam serangan bom di kelab malam di Bali yang membunuh lebih 200 orang pada 2002.

Penganalisis keganasan, Sidney Jones yang juga penasihat kanan International Crisis Group (ICG) hari ini berkata, kerajaan Indonesia buat kali pertama berusaha menghalang penyebaran mesej keganasan yang dibawa oleh pengebom-pengebom berkenaan.

"Ketiga-tiga lelaki itu merupakan penulis prolifik semasa di dalam penjara dan sejurus sebelum mereka menjalani hukuman mati, terdapat persaingan di kalangan syarikat penerbitan radikal untuk menerbitkan tulisan mereka," kata Jones. - AFP

Mahkamah tolak permohonan Sivakumar

IPOH 11 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohanan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar untuk mewakili dirinya sendiri dalam kes saman oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

Saman itu dikemukakan oleh ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu; dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong yang memohon deklarasi bagi membatalkan keputusan Sivakumar.

Sivakumar sebelum ini mengumumkan bahawa tiga kerusi DUN yang diduduki Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong telah dikosongkan selain mereka bukan lagi ADUN yang sah serta tidak layak menghadiri sidang DUN.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim ketika membuat keputusan itu di kamarnya berkata, Sivakumar tidak boleh mewakili dirinya dalam kes tersebut kerana jawatan Speaker adalah tertakluk di bawah Seksyen 243 Akta Prosiding Kerajaan.

Mengikut seksyen tersebut, katanya, hanya Penasihat Undang-Undang negeri boleh mewakili Sivakumar kerana Speaker DUN merupakan penjawat awam bagi kerajaan negeri.

Sehubungan itu, ujarnya, Sivakumar mesti menggunakan khidmat Penasihat Undang-Undang negeri dan berjumpa dengan pegawai itu untuk mendapatkan sebarang nasihat dalam kes berkenaan.

Mahkamah menetapkan 16 Mac ini untuk mendengar prosiding kes saman membabitkan tiga ADUN Bebas tersebut.

Ini adalah kali ketiga mahkamah membuat keputusan menolak permohonan Sivakumar untuk tidak diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri.

Senyum kuda utusan

Ikhlas atau tidak? Sanggup atau tidak? Berani atau tidak?

Gani, Musa tak bersalah kes mata lebam

PUTRAJAYA 11 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah seperti yang didakwa oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, selepas mengkaji secara teliti dan mendalam, majoriti ahli-ahli panel SPRM memperakukan bahawa tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua individu itu.

‘‘SPRM memandang berat dakwaan Anwar kononnya suruhanjaya ini tidak mengambil tindakan terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara ekoran aduan beliau kepada pihak polis pada Julai 2008.

‘‘Dalam aduannya, Anwar mendakwa Abdul Gani dan Musa telah memalsukan bukti atau keterangan siasatan kes serangan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor yang telah menyebabkan kecederaan ke atas dirinya suatu ketika dulu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aduan beliau telah dirujuk kepada polis dan pihak SPRM (ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) menjalankan siasatan secara terperinci dan telus.

Siasatan kes berkenaan dimulakan pada 2 Julai tahun lalu dan dilengkapkan dua bulan kemudian.

Ahmad Said berkata, pihak suruhanjaya dalam siasatannya memang mengambil kira bahawa subjek utama yang disiasat adalah Abdul Gani dan Musa.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan telah merakam percakapan saksi-saksi termasuk Anwar sendiri yang dibuat secara teratur melalui peguamnya.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu SPRM tidak mengambil kira tindakan siasatan berkaitan aduannya,

‘‘Memandangkan kes ini amat sensitif, berprofil tinggi dan berkepentingan awam dan mengambil kira tanggapan dan persepsi negatif yang mungkin timbul, SPRM telah mencadangkan tiga ahli panel bebas dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes ini,” katanya.

Mereka terdiri daripada bekas-bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan yang berwibawa, berintegriti dan dihormati oleh masyarakat.

Pelantikan mereka sebagai Timbalan Pendakwa Raya dibuat oleh PeguamCara Negara.

Sementara itu di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut menjawab soalan mengenai isu yang sama hari ini.

Antara lain soalan tambahan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mengenai bila keputusan itu dibuat dan adakah kerajaan bersedia mencadangkan satu pindaan undang-undang supaya dihadkan masa bagi setiap siasatan yang dilakukan oleh polis.

Jepun cipta Saya

TOKYO 11 Mac – Jepun yang terkenal dengan teknologi penciptaan robot, memperkenalkan satu lagi robot baru dikenali sebagai Saya yang berperanan sebagai guru dan berupaya memberikan tugasan kepada para pelajar.

Perekanya, Hiroshi Kobayashi yang juga seorang profesor di Universiti Sains Tokyo berkata, sama seperti robot-robot keluaran Honda Motor seperti Asimo, Saya diprogramkan dengan emosi asas iaitu terkejut, takut, meluat, marah, gembira dan sedih.

Saya pada mulanya dibangunkan sebagai robot penyambut tetamu pada 2004 sebelum diuji di dalam bilik darjah awal tahun ini bersama pelajar gred lima dan enam.

Jelas Kobayashi, Saya yang menyerupai manusia mampu berinteraksi setiap kali namanya dipanggil. – AP

8 pegawai menteri disiasat

KUALA LUMPUR 11 Mac – Lapan pegawai kanan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Rabu lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Hari ini sahaja, dua pegawai kanan menteri telah diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11.30 pagi.

Kesemua mereka yang disoal siasat telah memberi kerjasama sepenuhnya termasuk mengemukakan segala dokumen.

Difahamkan ketika soal siasat dijalankan menteri terlibat tiada di dalam pejabat.

“Setakat ini tiada serbuan, rampasan atau pun penahanan dilakukan. Semua pegawai terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya,” menurut sumber rapat kementerian itu di sini hari ini.

Sementara itu, pejabat Menteri Pelancongan dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan beberapa pegawainya telah diminta memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM.

Menurut kenyataan itu, kementerian dan Tourism Malaysia sedia bekerjasama dalam semua aspek siasatan .

‘‘Ini termasuk siasatan ke atas anak syarikat kementerian iaitu Pembangunan Pelancongan Nasional (Pempena) berhubung dakwaan salah guna dana.

‘‘Kita akan memberi bantuan kepada SPRM dengan keyakinan yang siasatan akan dijalankan secara adil dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada 6 Mac lalu, setiausaha politik kepada seorang menteri Kabinet ditahan di sebuah restoran di sini kelmarin kerana dipercayai menerima suapan lebih RM70,000.

Penahanan lelaki berusia dalam 40-an tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota SPRM setelah menjalankan intipan ketika menerima suapan kira-kira pukul 10.30 malam.

PM akan umum secara rasmi tarikh peralihan kuasa

KOTA KINABALU 11 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengumuman rasmi bagi memaklumkan tarikh penyerahan kuasa kepada penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada pemberita pada lawatan seharinya ke Sabah di sini hari ini, Perdana Menteri menjelaskan, buat masa ini, beliau dan timbalannya mengadakan banyak perbincangan mengenai pelbagai perkara.

Ditanya sama ada beliau sudah mempunyai tarikh tersebut, Abdullah berkata: ‘‘Sudah tentu kami perlu mempunyai tarikh’'.

Abdullah diminta mengulas laporan portal berita yang menyebut beliau telah memaklumkan kepada Najib, tarikh penyerahan kuasa sebagai Perdana Menteri akan berlangsung pada 3 April ini.

Menurut laporan tersebut, tarikh itu sedikit tersasar daripada pelan asal iaitu 31 Mac, bagi membolehkan Abdullah mempengerusikan mesyuarat Kabinet buat kali terakhir pada 1 April, sekali gus bertemu dengan Menteri-menteri Kabinet yang berkhidmat di bawah kepimpinannya.

Laporan itu turut menyebut, upacara angkat sumpah Najib sebagai Perdana Menteri keenam negara akan dilakukan Jumaat, 3 April iaitu empat hari sebelum pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Batang Air serta kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Sementara itu, Perdana Menteri turut ditanya mengenai satu lagi laporan portal berita bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa makan tengah hari di Madrasah Nurul Iman di Hulu Langat, Selangor semalam.

Sambil menafikan laporan tersebut, Abdullah menegaskan, berita berlaku perbincangan empat mata (antara beliau dan Anwar) itu hanya rekaan semata-mata.

‘‘Tak ada... tak ada (perbincangan dengan Anwar). Dia agak sahaja tu atau orang lain buat cerita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau mengenali tokoh agama, Sheikh Mahmud Al-Mazjub dan menerima jemputan makan tengah hari sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran madrasah itu.

Katanya, selain Maulidur Rasul, majlis tersebut turut diadakan sempena sambutan tamat latihan kerohanian 40 tahun tokoh agama tersebut.

‘‘Semasa saya sedang makan, Anwar tiba, sebab dia pun dijemput. Itu sahaja.

‘‘Semasa saya bercakap dengan Sheikh Mahmud, dia bagi pandangan macam-macam tentang masalah yang dihadapi dunia. Mengenai pentingnya kepimpinan negara. Kita mesti adil dan kita mesti mengawal keamanan. Itu yang ditekankan,’’ katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau hanya bercakap dengan Sheikh Mahmud dan bukannya dengan Anwar.

‘‘Dia (Sheikh Mahmud) bercakap dengan saya, bukan dengan Anwar dan saya pun tidak bercakap dengan dia (Anwar) sebab dia sedang dengar tok guru bercakap. Tidak ada apa yang lebih selain itu,” jelas Abdullah. -utusan

Harga saham ditutup rendah semalam

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, sekali gus menghapuskan keuntungan awal dengan aktiviti pengambilan untung dilihat terutama di kalangan kaunter mewah dan berkaitan indeks, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) lega 4.88 mata atau 0.571 peratus kepada 850.37 selepas dibuka 5.31 mata lebih tinggi pada 860.56.

Peniaga berkata aktiviti di bursa tinggi pada sesi pagi, dirangsang oleh pakej rangsangan RM60 bilion yang diumumkan kerajaan semalam.


Bagaimanapun, pasaran gagal untuk mengekalkan prestasinya pada penutup kerana pelabur enggan mengambil pegangan baru ekoran keadaan yang tidak menentu.

"Persekitaran luaran yang begitu mencabar bermakna pasaran ekuiti akan melihat situasi kemudah ruapan berpanjangan, dan saham mewah terutama kaunter kewangan dan perladangan akan terjerumus kepada tekanan jualan," kata seorang peniaga.

Peniaga itu juga berkata yang sentimen pasaran yang tertekan kemungkinan mengehadkan sebarang kenaikan, sambil menambah yang halangan serta-merta ialah pada sekitar paras 800 mata dan sokongan pada 850 mata untuk urus niaga esok.

Indeks kewangan merosot 88.35 mata kepada 6,274.1, Indeks Perindustrian mengukuh 2.81 mata kepada 2,059.66 dan Indeks Perladangan turun 20.92 mata kepada 4,375.6.

Untuk siri Indeks FTSE-BM, FBMEmas mengecil 40.44 mata kepada 5,432.09, FBM30 susut 46.6 mata kepada 5,425.84, FBM2BRD 42.23 mata lebih rendah pada 3,874.9 dan FBM-MDQ berkurangan 66.93 mata kepada 2,998.27.

Saham rugi mengatasi saham untung dengan 296 berbalas 199, 220 kaunter tidak berubah dan 552 tidak diniagakan sementara 52 yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan menokok kepada 375.129 juta saham bernilai RM552.665 juta berbanding 372.025 juta saham bernilai RM785.163 juta semalam. - Bernama

Calon BN bagi DUN Batang Ai diketahui Sabtu

KUCHING 11 Mac — Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai akan diketahui Sabtu ini.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Pengerusi BN negeri, berkata nama calon berkenaan akan diumumkan selepas mesyuarat parti-parti komponen BN pada hari itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hospital Pakar Kuching (KSH) di sini hari ini.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb akibat serangan angin ahmar dan koma selama sembilan bulan.

Unting merupakan naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan wakil rakyat Batang Ai sejak 1991. Beliau merupakan Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 29 Mac dan hari pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan.

Minggu lepas, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing berkata parti itu hanya menyerahkan satu nama sebagai calon kepada pucuk kepimpinan BN.

Taib, ketika ditanya mengenai pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM60 bilion yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam, berkata kesan pakej rangsangan itu dirasai pada awal tahun depan.

“Jangan terlalu mengharap pada tahun ini,” kata beliau, sambil menambah kata bahawa Sarawak berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyediakan peruntukan bagi pembangunan di Sarawak dan Sabah.

Najib mengumumkan sejumlah RM230 juta diperuntukan bagi menambah baik infrastruktur luar bandar di Sarawak dan Sabah, terutamanya bagi meningkatkan bekalan elektrik dan air.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.95 bilion bagi membina dan meningkatkan kemudahan 752 sekolah luar bandar di Sarawak dan Sabah, dengan RM300 juta diperuntukan bagi meningkatkan kemudahan sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah-sekolah mubaligh dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. — Bernama

Kerajaan tak hasrat guna tentera bantu polis

KUALA LUMPUR 11 Mac — Kerajaan tidak berhasrat menggunakan tentera bagi membantu polis untuk mempertahankan kawasan strategik dan berisiko tinggi di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata polis masih mampu menjaga keselamatan rakyat dan tugas itu tidak sesekali membebankan atau menyukarkan pasukan berkenaan.

“Memang kemelesetan ekonomi global akan menyebabkan peningkatan kadar jenayah dan ini memerlukan lebih ramai anggota polis di merata tempat.

“Bagaimanapun, polis masih mampu menjaga keamanan termasuk di kawasan strategik dan berisiko tinggi. Kementerian sendiri mengharapkan sokongan rakyat sebagai antara elemen penting untuk mencegah jenayah bersama bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) mengenai sama ada tentera perlu membantu polis mengawal kawasan strategik termasuk lapangan terbang berikutan peningkatan kadar jenayah meningkat akibat kemelesetan ekonomi.

Syed Hamid mengakui terdapat peningkatan kes jenayah di seluruh negara sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan yang paling ketara ialah kes samun tanpa senjata api yang meningkat kepada 26,763 kes pada tahun lepas berbanding 24,328 kes pada 2007, iaitu peningkatan sebanyak 10.1 peratus.

“Jenayah pecah rumah dan curi turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 1,998 kes atau 5.95 peratus, menjadikan jumlah kes yang dilaporkan pada 2008 adalah sebanyak 35,558 kes berbanding 33,590 kes pada tahun sebelumnya,” katanya.

Syed Hamid berkata kes curi motosikal bagaimanapun mencatatkan penurunan sebanyak 247 kes iaitu hanya 67,359 kes dilaporkan pada tahun lepas berbanding 67,606 pada 2007.

“Jenayah curi juga turut mencatatkan penurunan sebanyak 3,431 kes yang menjadikan jumlah kes curi yang dilaporkan pada 2008 adalah sebanyak 41,215 kes berbanding 44,646 pada tahun 2007,” katanya.

Beliau berkata pelbagai langkah telah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai strategi jangka pendek bagi menurunkan kadar jenayah seperti mewujudkan lebih banyak balai atau pondok polis komuniti.

“Sebanyak 115 buah balai atau pondok polis komuniti telah ditempatkan di empat kontinjen iaitu di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Setiap tahun juga antara 10,000 hingga 12,000 pengambilan anggota polis baru dibuat bagi mencapai sasaran penambahan keanggotaan seramai 60,000 sehingga 2012,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama semua pihak terutamanya masyarakat umum dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) membantu PDRM menangani jenayah masa kini.

Semasa menjawab soalan Tan Ah Eng (BN-Gelang Patah), Syed Hamid berkata sejumlah 8,622 permohonan permit masuk dan sebanyak 3,524 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan dari tahun 2001 hingga tahun lepas.

— BERNAMA

Ibrahim Ali cadang imuniti Anggota Parlimen dihapus

KUALA LUMPUR 11 Mac — Datuk Ibrahim Ali, satu-satunya wakil rakyat Bebas, mencadangkan supaya imuniti dan kekebalan Anggota Parlimen dihapuskan supaya mereka lebih bertanggungjawab dengan apa yang diucapkan.

Ibrahim (Bebas-Pasir Mas) berkata kekebalan itu perlu ditarik balik memandangkan Raja-raja dan Sultan sendiri pun tidak mempunyai kekebalan.

“Kita di sini boleh cakap apa saja. Memang ada peraturan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan tetapi tidak mencukupi,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 di Dewan Rakyat hari ini. Ibrahim berkata Anggota Parlimen tidak perlu takut untuk menyentuh perkara tertentu sekiranya mempunyai bukti dan maklumat sahih mengenai apa yang mereka bangkitkan.

Beliau juga mencadangkan supaya rakyat Malaysia yang layak mendapatkan kad pengenalan pada peringkat umur 12 tahun supaya mengangkat sumpah kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan Rukun Negara.

Beliau berkata perkara ini penting kerana pelbagai perkara berlaku kebelakangan ini disebabkan generasi muda kurang pengetahuan sejarah, dan jika tidak disedarkan dengan segera, ia boleh menjurus ke arah kehancuran.

Ibrahim juga mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sejarah yang bersabit dengan kontrak sosial kerana ia penting untuk rakyat Malaysia.

“Kepada pembangkang dan kerajaan, kedua-dua juga perlu bermuhasabah diri.

Saya pun ingatkan diri saya sendiri. Semua orang tahu sama tahu, pemain yang sama, tukar tempat sahaja,” katanya.

Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) pula berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk memberikan janji sebanyak 20 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak dan Terengganu sekiranya pakatan pembangkang memerintah.

“Dulu pun kata ada 30 Anggota Parlimen Sabah dan Sarawak yang melompat ke parti pembangkang 16 Sept tahun lepas. Ini pembohongan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang yang sama.

— BERNAMA

Aset Exco Selangor disiar di laman web Jumaat ini

SHAH ALAM 11 Mac — Aset para Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor akan diumumkan secara terbuka menerusi laman web kerajaan negeri di alamat www.selangor.gov.my mulai Jumaat ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Aset-aset yang akan diisytiharkan meliputi hartanah, saham dan wang yang dikumpul sejak dari tarikh mereka mengangkat sumpah sebagai Exco pada 24 Mac 2008 sehingga sekarang.

“Maklumat mengenai transaksi termasuk sebarang pemilikan atau pelupusan aset sepanjang jangka waktu itu akan turut disertakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menyeru supaya semua anggota Exco Selangor mengisytiharkan aset mereka secepat mungkin dalam usaha meletakkan Selangor di hadapan dari aspek pelaksanaan tadbir urus yang baik.

Abdul Khalid berkata menerusi pengisytiharan aset tersebut, ia dapat memelihara kewibawaan kerajaan negeri.

— BERNAMA