"SAYA yang cabar dia pergi ke mahkamah." Itulah pengakuan terbaru vokalis OAG, Mohd. Radhi Razali, 32, berhubung punca pergolakan rumah tangganya yang sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu.Menurut Radhi, ketika pertengkaran hebat berlaku antaranya dengan isteri, dia telah terlepas cakap dengan mencabar isterinya, iaitu satu tindakan yang dia sendiri kesali."Biasalah bila tengah 'panas', saya ada cabar dia.
Mungkin sebab itu dia terus ke mahkamah dan membuat tuntutan fasakh."Tetapi saya masih sayangkan dia dan kalau boleh saya tak mahu berpisah dengannya," tuturnya tanpa mahu berselindung.Ini adalah penjelasan pertama Radhi setelah sekian lama mendiamkan diri dan tidak bercakap dengan pihak media yang 'mengejar'nya bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung masalah rumah tangganya yang tiada titik noktah.Radhi sebagai defendan kes itu juga gagal menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya sebanyak empat kali bagi mendengar permohonan yang dibuat oleh isterinya.
Mahu membela diri, menurut Radhi, dia mempunyai alasan kukuh kenapa tidak muncul di mahkamah."Selain sibuk dengan kerja, saya tak pergi mahkamah kerana tidak pernah mendapat sapina yang meminta saya hadir ke mahkamah. Kalau tak ada surat itu, kiranya saya tak diwajibkan hadir," katanya.Selain itu, menurut Radhi, dia tidak mempunyai kekuatan untuk ke mahkamah memandangkan masih menyayangi isterinya dan berharap agar tidak berlaku perceraian antara mereka."Mungkin isteri saya tersilap isi borang untuk meminta saya hadir ke mahkamah. Lagipun bukan saya yang pinta perceraian itu," jelasnya.
Tambah Radhi, sebelum ini mereka pernah dinasihatkan supaya berbaik semula memandangkan mempunyai seorang cahaya mata lelaki, Mohd. Rifdhi Muslim, 4 tahun.Namun, dengan wajah kesal, Radhi memberitahu, sehingga kini dia tidak berkesempatan untuk bertentang mata dengan isterinya untuk berbincang hal berkenaan secara serius."Kami telah berpisah dan tidak tinggal sebumbung sejak 15 bulan lalu. Sehingga kini saya tak dapat nak jumpa dia untuk selesaikan masalah kami. Tetapi nafkah anak, tetap saya jaga.
"Bila masalah ini sudah dibawa ke mahkamah, satu saja yang saya harapkan. Saya harap agar mahkamah mengeluarkan perintah supaya kami tinggal bersama di rumah saya, bukan di rumah keluarga isteri."Selama ini saya tak kisah, mungkin dia mahu belajar tentang hal rumah tangga dengan ibunya, tetapi saya rasa kami kena tinggal sendiri. Saya kahwin kerana dia. Jadi, dia perlu percaya dan memahami kehidupan artis seperti saya.
"Pernah sekali saya cuba praktis di rumah untuk lafaz cerai, tapi setiap kali saya nak ungkap perkataan itu, saya tak sanggup dan tak mahu kehilangannya," ujar Radhi lagi.Radhi yang ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-22 di Finas baru-baru ini sungguh berbeza.Sedikit tidak terurus, malahan badannya pula semakin susut dengan raut wajahnya agak cengkung, Radhi memang dilihat sedang menghadapi masalah.
No comments:
Post a Comment