IPOH 11 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohanan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar untuk mewakili dirinya sendiri dalam kes saman oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.
Saman itu dikemukakan oleh ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu; dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong yang memohon deklarasi bagi membatalkan keputusan Sivakumar.
Sivakumar sebelum ini mengumumkan bahawa tiga kerusi DUN yang diduduki Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong telah dikosongkan selain mereka bukan lagi ADUN yang sah serta tidak layak menghadiri sidang DUN.
Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim ketika membuat keputusan itu di kamarnya berkata, Sivakumar tidak boleh mewakili dirinya dalam kes tersebut kerana jawatan Speaker adalah tertakluk di bawah Seksyen 243 Akta Prosiding Kerajaan.
Mengikut seksyen tersebut, katanya, hanya Penasihat Undang-Undang negeri boleh mewakili Sivakumar kerana Speaker DUN merupakan penjawat awam bagi kerajaan negeri.
Sehubungan itu, ujarnya, Sivakumar mesti menggunakan khidmat Penasihat Undang-Undang negeri dan berjumpa dengan pegawai itu untuk mendapatkan sebarang nasihat dalam kes berkenaan.
Mahkamah menetapkan 16 Mac ini untuk mendengar prosiding kes saman membabitkan tiga ADUN Bebas tersebut.
Ini adalah kali ketiga mahkamah membuat keputusan menolak permohonan Sivakumar untuk tidak diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri.
No comments:
Post a Comment