Monday, March 9, 2009

Jimatnya guna diesel

PERCAYA atau tidak di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) lebih 60 peratus kenderaan di benua tersebut menggunakan diesel untuk kenderaan.

Sebaliknya di Malaysia, penggunaan diesel di Malaysia sering kali dikaitkan dengan minyak berkualiti rendah yang digunakan oleh lori besar dan trak untuk mengangkut barang serta tidak mesra alam.

Tahukah kita bahawa Malaysia merupakan pengeluar diesel terbersih di dunia, tetapi kita masih menggunakan diesel berkualiti rendah berbanding dengan negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Apa yang sampai kepada pengguna tempatan adalah diesel yang berkualiti rendah.

Negara-negara Eropah dan AS menggunakan diesel kerana ia lebih menjimatkan berbanding penggunaan minyak petrol serta mengeluarkan hanya sedikit gas rumah hijau.

Penjimatan antara 30 hingga 35 peratus berbanding penggunaan petrol berlaku kerana penjanaan tenaga yang lebih tinggi dalam seliter diesel dan penggunaan minyak itu adalah lebih efisien untuk enjin kenderaan.

Sebelum ini, diesel mengandungi kuantiti sulfur tinggi. Namun setelah mendapat tentangan, standard pengeluaran Eropah telah mendesak pengeluar minyak untuk mengurangkan paras sulfur di dalam diesel.

Di AS sendiri, standard pengeluaran yang lebih ketat dilaksanakan bagi memastikan kandungan sulfur lebih terkawal dan diesel boleh digunakan dengan selamat untuk alam sekitar.

Kualiti diesel yang terdapat di Singapura dan Thailand kini mempunyai standard yang sama dengan apa yang terdapat Eropah dan AS, dan mereka juga akan meningkatkan kualiti diesel masing-masing.

Namun Malaysia masih lagi menggunakan diesel berkualiti rendah walaupun negara merupakan pengeluar diesel terbersih di dunia.

Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu mencontohi negara jiran selain perlu meningkatkan standard kualiti diesel bagi membolehkan lebih banyak kenderaan menggunakan minyak jenis itu.

Presiden Volvo Car Malaysia Sdn. Bhd., Robert Norrman berkata, pada masa hadapan diesel akan menjadi penyelesai masalah pengeluaran karbon dan sesuai untuk alam sekitar

Atas dasar itu, Volvo telah memperkenalkan Volvo XC90 D5 yang menggunakan diesel dan ia telah diuji dan sesuai digunakan oleh diesel berkualiti rendah di negara ini.

Volvo XC90 D5 mempunyai kecekapan bahan api lebih tinggi bagi lebih perbatuan, tork lebih tinggi dan berkuasa dan pada masa yang sama kurang emisi. Ini merupakan sebahagian daripada faedah memandu Volvo XC90 D5 yang baru.

XC90 D5 yang dipasang di dalam negeri dijana oleh enjin caj turbo 2.4 liter yang menghasilkan 185 kuasa kuda dan 400 Nm tork dengan transmisi Geartronic automatik 6-kelajuan.

Selain itu, Volvo Malaysia dengan kerjasama Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyediakan laporan kajian tentang kelebihan diesel kepada kenderaan untuk dibentangkan kepada kerajaan.

Kerajaan diharap dapat menimbangkan cadangan itu dan Malaysia boleh menjadi pelopor kepada pembangunan diesel memandangkan negara mempunyai kepakaran tinggi dalam pengeluaran diesel berkualiti.


Untuk info harga minyak mentah dunia klik sini

No comments: