Monday, March 9, 2009

Cuti bersalin 90 hari di Selangor

SHAH ALAM 8 Mac - Selangor hari ini mengumumkan cuti bersalin 90 hari untuk semua kakitangan wanita yang bekerja dengan kerajaan negeri berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pengumuman tambahan 30 hari daripada tempoh 60 hari yang ditetapkan sekarang dibuat sempena genap setahun pemerintahan kerajaan negeri campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kakitangan terbabit bagaimanapun diberi pilihan menerima sejumlah pampasan jika mahu bekerja selepas 60 hari cuti bersalin.

"Serentak dengan itu juga, suami yang menjaga isteri bersalin turut diberi tambahan cuti tujuh hari menjadikan jumlah cuti boleh diambil meningkat kepada 14 hari," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi bersama pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri sempena sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan baru Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Kira-kira 6,000 orang daripada lebih 400 kampung tradisi dan kampung baru di seluruh negeri menghadiri majlis tersebut.

Abdul Khalid juga memberitahu, langkah menambah cuti bersalin itu dibuat atas alasan perubatan kerana mengikut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bayi perlu diberi perhatian dan penjagaan rapi dalam tempoh 100 hingga 200 hari selepas dilahirkan.

Beliau berharap, mereka yang layak mendapat kemudahan cuti menggunakannya sebaik mungkin termasuk bagi memastikan bayi mereka mendapat suntikan imunisasi mengikut tempoh waktu ditetapkan.

Abdul Khalid turut mengumumkan balu yang baru kematian suami diberi cuti pilihan sehingga 30 hari berbanding kemudahan cuti tanpa rekod selama tiga hari yang diamalkan sekarang.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 40 pengerusi JKKK terdiri daripada kaum India akan dilantik pada bulan depan bagi memudahkan pentadbiran di kawasan yang mereka menjadi majoriti.

Dalam pada itu, satu perbincangan akan diadakan dengan Bahagian Kewangan Negeri dan pihak terlibat berhubung cadangan menaikkan elaun pengerusi JKKK daripada RM450 sebulan yang diterima sekarang.

"Exco terlibat akan turut berbincang, tetapi ia hanya akan dilakukan pada bulan depan," tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Khalid mendakwa kerajaan negeri telah menunaikan janji pilihan raya antaranya memberi bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik selain memberi biasiswa dan hadiah kepada anak Selangor yang memasuki universiti.


Kaum muda : terima kasih Tan sri Menteri Besar!

No comments: