Monday, March 9, 2009

Damaikan antara saudara kamu yang berkonflik


Mohd. Afandi Muhamod memeluk anaknya Mohd. Amirul Hakim (dua dari kiri), pelajar yang cedera dilibas senjata lawi ayam bersama Wan Mohd. Alias Wan Talib tanda berdamai sambil disaksikan Alimuddin Mohd. Dom (kiri) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut, Pasir Puteh semalam. – UTUSAN / ROSNI MASRI


PASIR PUTEH 8 Mac – Kementerian Pelajaran akan mengaktifkan semula hukuman rotan sebagai tanda ketegasan menangani masalah disiplin pelajar yang semakin menimbulkan kebimbangan umum.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, pengetua atau guru besar sekolah telah diberi kuasa menjalankan hukuman itu jika perlu.

Katanya, hukuman itu tidak dilaksanakan sejak akhir-akhir ini kerana pihak sekolah cuba mengambil pendekatan memberi bantuan kaunseling kepada pelajar bermasalah.

“Hukuman rotan boleh dilaksanakan jika perlu, tetapi ia perlu dilakukan di tempat tertutup.

“Oleh itu, sama ada akan dilaksanakan atau tidak, bergantung kepada budi bicara mereka dan melihat kepada jenis kesalahan pelajar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Alimuddin menegaskan, pihak kementerian tidak akan berkompromi dalam hal itu jika masalah disiplin yang berlaku amat serius.

Katanya, mana-mana pihak tidak boleh mencabar hukuman rotan yang dijalankan kerana ia telah termaktub dalam peraturan sekolah.

Bagaimanapun, jelas beliau, kementerian telah menetapkan garis panduan yang perlu diambil oleh pihak sekolah sebelum melaksanakan sesuatu hukuman.

“Pihak sekolah boleh memberi amaran, merotan, menggantung sekolah dan akhir sekali mengambil langkah membuang sekolah terhadap mana-mana pelajar bermasalah,” tegasnya.

Alimuddin berkata, masalah disiplin pelajar di seluruh negara menyaksikan satu trend penurunan sejak tiga tahun terakhir dan kementerian konsisten dalam usaha menangani isu itu sehingga ke akar umbi.

Katanya, daripada kira-kira lima juta pelajar, kes disiplin yang direkodkan oleh jabatannya hanya pada kadar 2.08 peratus pada tahun lalu.

Ujar beliau, jumlah itu menurun berbanding 2.13 peratus dan 2.10 peratus masing-masing bagi tahun 2006 serta 2007.

Bagi hukuman rotan pula, beliau berkata, sebanyak 0.34 peratus telah dijalankan tahun lalu berbanding 1.25 peratus pada tahun sebelumnya.

“Sebanyak 0.11 peratus jumlah pelajar digantung sekolah tahun lalu berbanding 0.37 peratus tahun sebelumnya.

‘‘Bagi tindakan buang sekolah, sebanyak 0.05 peratus pelajar terlibat jika dibandingkan sebanyak 0.18 peratus pada 2007,” jelasnya.

Beliau menambah, daripada jumlah pelajar yang dibuang sekolah tahun lalu, sebanyak 87 peratus daripadanya telah membuat rayuan dan diterima bersekolah semula dengan syarat yang ketat.

No comments: