Monday, March 9, 2009

Kekalkan konsep senior-junior

KUALA LUMPUR 8 Mac - Konsep senior-junior di sekolah dan asrama wajar dikekalkan tetapi perlu diperbaiki supaya hubungan itu mampu mewujudkan perasaan hormat menghormati di kalangan pelajar lama dan baru.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau tidak menganggap konsep itu satu isu yang menjadi punca kes buli kerana ia adalah keadaan biasa di mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti.

Katanya, apa yang lebih penting ialah mengubah konsep itu kepada satu hubungan rapat dan mesra antara pelajar senior dan junior, bukannya menjadikannya sebagai asas kepada senior membuli junior.

''Itu bukan caranya. Kita mahu konsep ini dikekalkan tetapi dengan cara mewujudkan perasaan hormat dan sayang antara satu sama lain," katanya sebagai mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) baru-baru ini mencadangkan supaya konsep senior-junior di asrama dihapuskan kerana berpendapat ia adalah antara faktor penyumbang kepada kejadian gangsterisme di sekolah.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, selain itu konsep berkenaan turut menyumbang kepada kejadian sosial lain seperti seks bebas serta membawa masuk pengaruh luar ke sekolah.

Mengulas isu gengsterisme di sekolah, Lam Thye berkata, beliau tidak mengatakan bahawa ia sudah mencapai tahap gangsterisme tetapi tidak dinafikan masalah disiplin dan salah laku pelajar sudah mencapai tahap yang sangat serius.

Sebagai usaha menanganinya, kata beliau, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran melihat isu itu sedalam-dalamnya dan melakukan kajian untuk mengenal pasti punca berlakunya kes buli dan keganasan di kalangan pelajar.

''Saya rasa budaya ganas di sekolah pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an dulu tidak keterlaluan seperti hari ini yang kita lihat begitu menonjol di kalangan pelajar.

''Mungkin kita perlu lihat pengaruh filem-filem aksi yang ganas, video cakera padat (VCD) dan rancangan kartun yang ada unsur-unsur keganasan," katanya.

Lam Thye juga berkata, penting bagi kementerian memastikan aspek kaunseling di sekolah mencukupi untuk menangani gejala salah laku pelajar.

Katanya, tidak dinafikan bahawa sekolah memerlukan lebih banyak guru-guru kaunselor kerana jumlahnya sekarang adalah tidak mencukupi.

Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan pra Program Latihan Khidmat Negara (pra-PLKN) di sekolah-sekolah agar program jati diri itu dapat mendidik pelajar dan menyedarkan mereka tentang moral dan nilai murni.

''Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya sikap jujur serta semangat kerjasama, sudah tentu dapat membantu mencegah jenayah dan melahirkan rasa takut kepada jenayah," ujarnya.

Katanya, apa yang perlu dilakukan kini ialah mematikan proses pendidikan dan penerapan kesedaran yang berterusan dengan objektif membasmi jenayah di dalam dan luar sekolah.


Kaum muda : Aku sokong!!!

No comments: