KOTA BAHRU 8 Mac — Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz (gambar) menolak cadangan untuk dilantik sebagai penasihat pergerakan itu kerana berpendapat fungsi jawatan tersebut tidak memberi kesan yang kuat kepada Wanita UMNO dan parti.
Sebaliknya Rafidah mahu diberikan peluang oleh perwakilan untuk terus menerajui Wanita UMNO atau lebih baik beliau tidak diberikan langsung sebarang jawatan.
Beliau berkata, hasratnya adalah untuk menjadikan Wanita UMNO berkesan dalam memperjuangkan misi dan visi pergerakan Wanita seiring dengan pembangunan negara.
“Tidak payahlah, saya ini kalau hendak beri nasihat, biarlah dari dalam, nasihat di pinggir bukan kerjanya.” katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dan ramah mesra antara calon-calon Exco Wanita UMNO dengan perwakilan Wanita UMNO Kelantan di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kesediaan Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang turut hadir pada majlis yang sama, memberikan peluang dan tempat kepada Rafidah sekiranya beliau menang pada pemilihan parti dalam Perhimpunan Agung Umno pada 24-28 Mac ini.
Terdahulu, pada sidang akhbar berasingan, Shahrizat berkata, beliau tetap menghormati Rafidah dan akan menyediakan tempat kepadanya dalam sayap parti itu sekiranya menang.
‘‘Bagi saya dalam UMNO, bukan saja Wanita, tetap ada tempat untuk semua dan kalau tengok rekod saya, saya amat menghormati orang yang lebih berumur dan berpengalaman. Sebab itu dalam kempen saya amat hati-hati.
“Saya lapik cakap saya kerana hormati Wanita terutama Tan Sri (Rafidah). Beliau banyak berjasa kepada Wanita, Jadi dalam kempen, saya tidak pernah kata benda-benda yang akan menyinggung perasaannya,” katanya.
Shahrizat berkata, kekuatannya dalam Wanita adalah memahami hati budi, keperluan serta kehendak akar umbi.
Kaum muda : Dasar gila kuasa. Kira dah bertuah dapat jadi penasihat daripada kalah waktu pemilihan nanti!
No comments:
Post a Comment