Monday, March 9, 2009

Obama: AS sukar menang di Afghanistan

WASHINGTON 8 Mac - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berharap tentera AS boleh mengenal pasti kumpulan berfahaman sederhana dalam pergerakan Taliban di Afghanistan dan membawa mereka kepada perdamaian.

Sementara itu, Obama memberi jawapan 'tidak' apabila ditanya sama ada AS sedang menuju kemenangan dalam kempen ketenteraannya di negara itu, dalam satu wawancara dengan akhbar New York Times.

Menurut beliau, tentera AS menjalankan tugas luar biasa dalam situasi yang sangat sukar.

"Kita melihat keadaan bertambah buruk sejak beberapa tahun lalu. Taliban semakin berani dan di selatan negara itu, mereka melancarkan serangan yang belum pernah disaksikan sebelum ini," kata Obama dalam wawancara yang disiarkan di laman web akhbar itu, semalam.

Kerajaan Afghanistan masih belum mendapat keyakinan daripada rakyat Afghan, ujar beliau.

Presiden itu menjangkakan mungkin ada peluang untuk mengadakan dialog dengan golongan sederhana dalam Taliban tetapi menganggap situasi di Afghanistan lebih rumit daripada cabaran yang dihadapi oleh tentera Amerika di Iraq.

Tentera AS telah dapat memujuk gerila Sunah di Iraq supaya bekerjasama dalam menangani keganasan kerana mereka tidak lagi menyukai taktik yang digunakan oleh militan al-Qaeda.

Obama mengingatkan bahawa Afghanistan tidak dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan pusat, manakala kabilah-kabilahnya sejak dahulu lagi sentiasa keras mempertahankan kebebasan masing-masing.

Syor untuk mengadakan kerjasama dengan golongan sederhana dalam Taliban sudah dibangkitkan sejak berbulan-bulan lalu oleh para komander tentera Amerika termasuk ketua Pemerintahan Pusat Tentera AS, Jeneral David Petraeus. - AP

No comments: