Saturday, March 7, 2009

SUPP Turun Padang Awal Pastikan BN Kekal Di Batang Ai

PETALING JAYA, 5 Mac (Bernama) -- Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan turun padang lebih awal bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai yang akan diadakan 7 April ini.

Setiausaha Pengelola SUPP Datuk Peter Chin Fah Kui berkata pihaknya akan berusaha keras bagi memastikan BN mengekalkan kerusi DUN itu.

"Kita akan pastikan kerusi itu (kekal) di tangan BN. Oleh itu kita akan turun padang lebih awal untuk memastikan BN menang dan itulah keazaman kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian pelesenan dan teknikal antara OCNED Water Technology Sdn Bhd dan Sumitomo Heavy Industries Environment Co Ltd di sini Khamis.

Kerusi DUN Batang Ai kosong berikutan kematian penyandangnya Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb lepas.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, Unting memenangi kawasan yang majoritinya kaum Iban selepas menewaskan Nicholas Bawin Anggat daripada Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi. Unting merupakan Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak.

-- BERNAMA

No comments: