Saturday, March 7, 2009

Ibrahim Ali Terus Diberi Kata Dua Oleh Pas

KOTA BAHARU, 6 Mac (Bernama) -- Datuk Ibrahim Ali terus diberi kata dua oleh PAS yang mendesak beliau supaya segera membuat pendirian sama ada mahu kekal sebagai wakil rakyat Bebas atau menyertai Umno.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata ia bagi mendapatkan pendirian muktamad Anggota Parlimen Pasir Mas itu kepada penyokong PAS, yang memilih beliau sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum lepas.

"Kita suruh dia letak jawatan, dia tidak mahu, jadi saya rasa dia patut buat pendirian, nak masuk Umno atau menyertai mana-mana parti politik," katanya kepada Bernama.

Ibrahim menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penyokong PAS sejak akhir-akhir ini apabila beliau turut lantang mengkritik parti pembangkang itu di Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata Ibrahim sepatutnya tidak takut untuk berhadapan dengan ujian kepada beliau supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat Bebas.



-- BERNAMA

No comments: