Saturday, March 7, 2009

Mangsa kebakaran Sungai Bedil dibantu segera

KUCHING: Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya bertindak segera membantu mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Sungai Bedil di sini untuk mendapatkan kediaman baru mereka.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof berkata pihaknya akan membantu mangsa-mangsa kebakaran terbabit dalam apa sahaja cara bagi membolehkan mereka memperolehi semula rumah untuk keselesaan hidup.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu memberitahu beberapa langkah diambil seperti mendapat semula dokumen-dokumen penting mangsa, peralatan persekolahan anak-anak serta memberi kemudahan pinjaman perumahan.

“Kita akan membantu dengan pelbagai cara untuk membolehkan mangsa dapat memulakan hidup mereka seperti biasa,” katanya kepada pemberita ketika meninjau mangsa kebakaran terbabit di Surau Kampung Sungai Bedil, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali dan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Sungai Bedil, Ahmad Mansor.

Seramai 16 keluarga melibatkan 80 penduduk kampung terbabit tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian berlaku petang Rabu lalu.

Fadillah berkata, bantuan segera diberikan oleh Pusat Khidmat Petra Jaya dengan sumbangan berjumlah RM2,000 setiap keluarga.

“Kita akan terus membantu mangsa dengan pelbagai bantuan termasuk pakaian, peralatan persekolahan anak-anak mereka serta bantuan memohon pinjaman perumahan.

“Kita ada beberapa kategori bantuan rumah seperti Rumah Mesra Rakyat (RMR), Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sebagainya,” kata beliau sambil berharap mangsa-mangsa bersabar tatkala dilanda bencana itu.

Fadillah menarik perhatian, penduduk-penduduk terbabit juga boleh memohon mendapatkan rumah di tapak asal dengan bantuan skim pinjaman Perumahan Nasional Berhad (PNB).

Buat masa ini, mangsa-mangsa terbabit ditempatkan di surau kampung berkenaan dan tinggal di rumah saudara-mara terdekat.

Sementara Sharifah Hasidah memberitahu, beliau akan berbincang dengan ahli-ahli jawatankuasa parti kampung terbabit untuk menghulurkan bantuan seperti makanan, pakaian dan sebagainya.

“Saya akan menghulurkan bantuan kepada mangsa dalam masa terdekat ini dan berharap pihak jawatankuasa parti kampung itu dapat menyelaraskan dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.

No comments: