Saturday, March 7, 2009

Ketiadaan kad pengenalan sukarkan Penan sara hidup

Masalah tersebut terus jadi faktor kemiskinan mereka

LONG KEVOK, Miri: Sebahagian besar masyarakat Penan masih tersekat dalam kepompong kemiskinan dan tidak mampu bergerak ke depan kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri MyKad dan sijil lahir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Telang Usan Lihan Jok memberitahu, masalah itu menyukarkan kaum berkenaan khasnya golongan muda untuk mendapat pekerjaan dan menyara kehidupan mereka.

“Bagi lelaki (kaum Penan), tanpa MyKad mereka tidak dapat memohon pekerjaan di syarikat pembalakan berdekatan kawasan kediaman mereka apatah lagi pekerjaan di bandar.

“Walaupun ramai orang-orang muda Penan ada kelayakan, tanpa Mykad mereka tetap sukar mendapat kerja,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika lawatan dan penyerahan MyKad kepada pemohon-pemohon di Long Kevok di Ulu Baram baru-baru ini.

Projek dijayakan menerusi Program Pelaburan Sosial Korperat Petronas (CSI) yang dikendalikan di pusat penempatan semula kaum Penan. Projek mendapat kerjasama Pejabat Residen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak.

Seramai 8 kakitangan JPN dari Unit Bergerak diketuai oleh Penolong Pegawai Kanan, Sidik Rashid untuk memproses permohonan MyKad dan sijil lahir kaum Penan di negeri ini.

Ratusan kaum Penan hadir untuk mendapatkan Mykad dan sijil lahir mereka tetapi dipercayai ramai yang kecewa dan balik dengan tangan kosong disebabkan masalah kesuntukan masa.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, Lihan berpuas hati kerana kaum Penan semakin sedar akan kepentingan MyKad.

“Saya percaya kaum Penan sekarang mahu mempunyai masa depan yang cerah untuk kaum mereka dan salah satu cara untuk ialah dengan menerima cara hidup moden.

Dengan mempunyai MyKad dan sijil lahir untuk anak-anak mereka, sekurangnya memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pendidikan dan pekerjaan.

Terdapat kes dimana pelajar Penan yang cemerlang dalam akademik tidak dapat melanjutkan pengajian mereka kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri,” jelas Lihan.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada JPN untuk memperluaskan peranan mereka bukan sahaja membantu kaum Penan tetapi juga kaum lain di luar bandar seperti Kayan dan Kenyah untuk memiliki kad pengenalan diri.

Mengulas tentang projek itu, Lihan memberitahu, JPN telah memproses sebanyak 394 pemohonan di Long Kevok.

Sejak dua tahun lalu, Unit Bergerak JPN telah memproses sebanyak 1,084 MyKad dan sijil lahir untuk penduduk di Baram.

No comments: