Saturday, March 7, 2009

MB Perlis nafi diarah bercuti



MD. Isa Sabu (kiri) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang pemilik rumah keluarga miskin, Wong Man Kong di Kampung Sahabat, Jalan Kaki Bukit dekat Padang Besar, Perlis, semalam.

PADANG BESAR 6 Mac - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu menafikan dakwaan yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa beliau telah dinasihatkan bercuti enam bulan berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Beliau berkata, dakwaan bahawa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail mengarahkan beliau berbuat demikian adalah tidak benar sama sekali.

Beliau juga kesal kononnya SMS mengenai arahan tersebut datangnya daripada Raja Perlis sendiri.

"Hari ini, saya mahu menjawab tuduhan liar yang disebarkan melalui SMS sejak tiga minggu lalu kononnya saya akan bercuti ke luar negara selama enam bulan mulai 1 Mac lepas.

"Tuduhan itu tidak benar. Setiap Rabu, saya bertemu Tuanku Raja Perlis atas urusan pentadbiran negeri dan pada Jumaat pula saya mengerjakan sembahyang Jumaat bersama baginda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Rumah Keluarga Miskin dan Bantuan Bencana Kebakaran di Kampung Sahabat, Jalan Kaki Bukit di sini hari ini.

Sehubungan itu, Md. Isa meminta orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin yang disifatkannya tidak profesional itu.

Beliau mengakui mendapat tahu mengenai SMS ini setelah dirujuk oleh rakan-rakan yang turut mendakwa beliau akan ke luar negara mulai awal bulan ini.

"Memang betul saya kerap keluar negeri mulai 1 Mac atas urusan rasmi termasuklah ke Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Itu sah saya keluar negeri iaitu luar dari negeri Perlis," ujarnya.

Sebelum ini, Md. Isa turut berdepan dengan dakwaan kononnya akan menjadi Menteri Besar Perlis 100 hari sahaja selepas pilihan raya umum ke-12 tahun lepas.

No comments: