KUALA LUMPUR 6 Mac — Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan memperkenalkan satu saluran baru berbentuk hiburan 24 jam iaitu Muzik Aktif di saluran 180 Astro mulai Khamis depan.
Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata program itu merupakan sebagai persediaan RTM ke arah penyiaran digital menjelang 2012, di samping menjadikannya sebagai platform untuk penggiat seni tempatan mempromosikan hasil industri kreatif mereka ke luar negara.
“Saya berharap dengan adanya saluran baru ini ia bukan sahaja menjadi satu platform kepada penggiat seni tetapi juga memberi kekuatan baru kepada dunia seni dan muzik di negara kita,” katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata saluran Muzik Aktif itu telah diperkenalkan dalam peringkat percubaan bagi Projek Perintis Pendigitalan Penyiaran RTM pada 1 Jun 2006.
Beliau berkata penyiaran melalui televisyen satelit itu juga akan memberi pengalaman baru dan proses pembelajaran kepada RTM bagi menguatkan serta memantapkan lagi siaran digitalnya sendiri.
“Kita telah meletakkan dekoder televisyen di 1,000 rumah sebagai sampel di Lembah Klang selama dua tahun dan kita sentiasa memperbaiki penyiarannya berdasarkan maklum balas yang diterima.
“Kali ini kita akan mensasarkan sebanyak dua juta penonton iaitu pelanggan Astro sehingga infrastruktur untuk sistem pendigitalan RTM siap, barulah ia akan disalurkan secara percuma,” katanya.
Saluran khusus menyiarkan program muzik seperti klip video penyanyi tempatan yang meliputi pelbagai genre, bahasa, budaya dan etnik di Malaysia serta program hiburan terbitan tempatan itu akan dilancarkan secara rasmi pada 16 Mac ini.
“Siaran di Astro merupakan salah satu platform dan strategi terbaik untuk memperkenalkan saluran ini sebagai langkah memupuk kesedaran umum bahawa RTM sedang melaksanakan projek penyiaran digital dan perkhidmatan nilai tambah yang sekaligus dapat merangsangkan dan mempercepatkan proses pendigitalan penyiaran RTM khususnya dan negara amnya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata kementeriannya akan menganjurkan Persidangan Industri Kreatif 2009 pada 16 hingga 17 Mac sebagai saluran perkongsian maklumat dan idea antara pihak yang terlibat dalam industri, pembekal teknologi serta penggubal dasar sama ada dari dalam atau luar negara dalam membincangkan masa depan industri kreatif di Malaysia.
Beliau berkata persidangan itu akan menghimpunkan semua pengendali media sama ada dari dalam dan luar negara bagi berkongsi ilmu dan pertukaran pengetahuan bagi membentuk rangka kerja untuk pembangunan industri kreatif di Malaysia.
“Di negara ini industri kreatif hanya menyumbang sebanyak 0.1 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini berbeza dengan negara maju di mana ia menyumbang sebanyak tujuh peratus dengan mengeksport drama, filem, muzik dan kesenian.
“Persidangan ini diharapkan akan memberi kesedaran kepada orang ramai apa itu industri kreatif terutamanya dalam zaman kemelesetan ekonomi di mana industri itu akan membantu jana ekonomi negara,” katanya.
Dijangka seramai 500 peserta, dengan antaranya pelajar Institusi Pengajian Tinggi, pembekal filem dan drama akan menyertai persidangan bertemakan “Industri Kreatif: Dimensi Baru Pembangunan Ekonomi”. Pameran juga akan diadakan sepanjang persidangan ini bertujuan menyebarkan maklumat mengenai industri kreatif bagi memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia berkenaan pendigitalan.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment