Friday, March 6, 2009

Teliti semula bina jambatan Labuan-Sabah - PM

LABUAN 5 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) meneliti semula cadangan pembinaan jambatan menghubungkan pulau ini dengan Sabah supaya ia diberi keutamaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi perhatian cadangan jambatan yang dianggarkan sepanjang 17 kilometer dengan kos kira-kira RM550 juta itu dan telah tertangguh sejak 1997.

Katanya, pembinaan jambatan itu bukan sahaja penting bagi kemudahan penduduk di sini malah akan merancakkan lagi pembangunan di pulau bebas cukai itu.

"Saya berharap ini akan menjadi kenyataan. Mungkin tidak dapat serta merta tetapi saya mengharapkan satu pendekatan yang baik dapat dicari untuk kemajuan Labuan sekali gus meningkatkan nilai tambah kepada hab halal yang diwujudkan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak projek Hab Pengedaran Halal Wilayah Persekutuan Labuan di Kiansam di sini hari ini.

Tahun lalu, Zulhasnan memberitahu kerajaan telah melantik Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan kajian mengenai keperluan jambatan bagi menghubungkan pulau ini dengan Menumbok di Sabah.

Kajian tersebut meliputi kesan baik dan buruk pembinaan jambatan itu dari pelbagai sudut.

Pada masa ini, Labuan dihubungkan menerusi pengangkutan air dan udara ke Sabah.

Sementara itu, mengenai pembangunan di pulau berkenaan, Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memastikan Labuan bukan sahaja dikenali sebagai pusat kewangan pesisir pantai antarabangsa tetapi pulau pelancongan yang menawarkan produk-produk berkualiti.

Katanya, pulau tersebut berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia dan kelebihan itu perlu dimanfaatkan.

Beliau menambah, selain pihak berkuasa, penduduk tempatan juga mempunyai peranan untuk menjadikan Labuan destinasi pelancongan utama di rantau ini.

''Semuanya bergantung kepada kita. Penduduk perlu menunjukkan budi pekerti yang baik, mesra kepada pelawat dan paling penting sentiasa bersama-sama menjaga kebersihan pulau ini," katanya.


kerajaan ingat makin lama tangguh makin rendah kos projek..dah lebih 10 tahun baru sekarang nak bangkitkan?

No comments: