Menteri 'Hilang' Semasa Menggulung Cetus Gelak Ketawa Dewan
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Selepas penggulungan yang serius oleh Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, suasana Dewan Rakyat bertukar menjadi medan gelak ketawa berikutan ketidakhadiran beberapa menteri untuk menggulung perbahasan bagi kementerian masing-masing.
Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudian menjemput Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam untuk menggulung namun setelah menjenguk ke arah tempat duduk Menteri terbabit Wan Junaidi mendapati menteri berkenaan tidak berada di tempatnya.
Wan Junaidi selepas itu menjemput pula menteri atau wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk membuat penggulungan namun menteri itu juga tidak berada di dalam dewan persidangan dan kebanyakan anggota Dewan berpandangan antara satu sama lain untuk mencari wakil yang sepatutnya menjawab.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Jelaing anak Mersat kemudian bangun menjelaskan bahawa Menteri ada di Parlimen dan tidak menyangka Menteri Sumber Manusia tidak berada di dalam persidangan.
"Menteri hadir, tak sangka pula (dia akan dipanggil)... Dia akan hadir sekejap (lagi)," katanya dan terus keluar Dewan untuk mencari ketuanya itu.
"Macam ni layak bersidang bawah pokok," kata Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) diikuti Saifudin Nasution Ismail (PKR-Machang) yang berkata: "Cemerlang, Gemilang, Terbilang, Menteri Hilang."
"Kita bersidang di bawah pokok kayulah," kata Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) diikuti dengan gelak ketawa anggota Parlimen dan juga pegawai kerajaan yang hadir bersidang.
Kenyataan-kenyataan ini berkaitan dengan sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang diadakan di bawah pokok oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat di Ipoh berdekatan dengan Bangunan Perak Darul Ridhwan, semalam.
Wan Junaidi kemudian menjelaskan beliau sudah menjemput menteri mengikut giliran dan cadangan sudah disusun namun kadang-kadang berlaku ketidaktepatan masa.
"Kita dah cadang tapi Tuhan menentukan...Sekarang saya jemput Menteri Sumber Manusia," katanya.
Mahfuz mencelah dan berkata : "Dia tunggu bawah pokok kat luar kot."
Wan Junaidi kemudian berkata menteri yang sepatutnya menjawab tidak menyangka penggulungan Kementerian Penerangan berlalu dalam masa singkat dan menjemput Dr Subramaniam yang sudah hadir untuk meneruskan menggulung perbahasan.
Sementara itu, setiausaha akhbar Menteri Sumber Manusia, E. Sivabalan dalam kenyataan ringkas kepada Bernama berkata Subramanim ketika itu berada di bangunan Parlimen.
"Beliau ketika itu menghadiri satu mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri di bangunan Parlimen. Menteri bergegas masuk Dewan selepas diberitahu beliau sepatutnya mengulung selepas Menteri Penerangan.
"Kelewatan itu bukan disengajakan tetapi kerana beberapa perkara berkaitan Kementerian Sumber Manusia yang memerlukan perhatian segera Timbalan Perdana Menteri," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment