Thursday, March 5, 2009

Hapus konsep senior-junior

KUALA LUMPUR 4 Mac – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) hari ini mencadangkan supaya konsep senior-junior di asrama dihapuskan kerana berpendapat ia adalah faktor penyumbang kepada kejadian gengsterisme di sekolah.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, selain itu konsep berkenaan turut menyumbang kepada kejadian sosial lain seperti seks bebas serta membawa masuk pengaruh luar ke sekolah.

Beliau mencadangkan perkara itu sebagai antara langkah bagi membanteras gengsterisme di sekolah yang kini dilihat semakin berleluasa sehingga membabitkan kematian dan menimbulkan kegelisahan ibu bapa.

Walaupun Kementerian Pelajaran memandang serius gejala itu dan pernah dilapor mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang terlibat, hukuman seperti dibuang sekolah dan tindakan disiplin seolah-olah tidak memberi kesan dan pengajaran kepada mereka.

Baru-baru ini di Kuching, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah berasrama di Dalat disepak dan dipukul termasuk dengan menggunakan cerek air oleh sekumpulan pelajar lain yang masih berpakaian seragam sekolah dalam sebuah bilik asrama.

Di Kuala Lumpur pula, seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia di hospital setelah tidak sedarkan diri akibat cedera parah di kepala kerana dibelasah berhampiran sekolahnya di Cheras pada 13 Februari lepas gara-gara berebut teman wanita.

Mohamad Ali berkata, konsep senior-junior itu akan memburukkan lagi keadaan apabila seseorang pelajar itu yang telah berada lama di sesebuah sekolah atau asrama berasa bahawa dia lebih berkuasa dan berhak membuat sesuka hatinya.

Beliau memberitahu Bernama di sini hari ini bahawa selain konsep itu harus dihapuskan, warden di sekolah berasrama juga perlu meningkatkan lagi rondaan di blok asrama tanpa mengira waktu.

“Apa yang penting ialah bagaimana warden itu termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan PIBG memainkan peranan mereka. Semua pihak perlu peka mengenai sebarang perubahan tingkah laku pelajar. Kekerapan meronda di blok-blok asrama juga perlu dilakukan tanpa mengira waktu,” katanya.

Mohamad Ali yang juga Naib Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkata, kerjasama polis untuk membuat rondaan secara kerap di persekitaran kawasan sekolah juga dilihat mampu membendung kejadian gengsterisme.

Selain itu, Mohamad Ali turut menggesa supaya hukuman rotan secara tertutup diaktifkan bagi menghukum pelajar yang terlibat dalam kejadian gengsterisme.

“Saya juga mencadangkan agar hukuman itu (rotan secara tertutup) dilakukan oleh ibu bapa pelajar terbabit dan untuk merotan, pihak sekolah mestilah mempunyai bukti yang kukuh sebelum menjatuhkan hukuman rotan.

“Dengan cara ini, pelajar itu akan sedar dan tidak akan mengulanginya kerana dia tahu ibu bapanya juga tidak berkompromi dengan kesalahan dilakukannya,” katanya. – Bernama


bagi aku memang tak patut, sebab budak dah tak hormat kat aku lagi..kes yang buli tu pun tak melibatkan senior- junior, sesama batch gaduh nak buat camne?

No comments: