Saturday, March 21, 2009

Bila Abdullah sendiri cakap pasal limbang


CYBERJAYA 20 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya kedudukan Limbang yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Brunei akan selesai apabila kerja-kerja penandaan sempadan kedua-dua negara secara kekal dan tepat dilaksanakan.

Serentak itu, Perdana Menteri meminta semua pihak tidak membuat andaian mengenai status wilayah itu setelah Kuala Lumpur dan Bandar Seri Bengawan menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih Isnin lalu.

‘‘Apa yang diputuskan ialah kita telah menandatangani perjanjian itu yang memberi kesempatan untuk membuat tanda-tanda sempadan yang tepat antara Malaysia dan Brunei.

‘‘Apabila kerja-kerja menanda sempadan secara kekal yang telah dipersetujui, (maka) selepas itu tidak ada masalah (lagi) yang timbul berkaitan mana-mana tempat antara Malaysia dan Brunei yang menjadi pertikaian atau tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Institut Kerjasama Pelbagai Hala Membanteras Keganasan Siber (IMPACT) di sini hari ini.

Abdullah diminta menjelaskan kedudukan Limbang yang menurut Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua Brunei, Datuk Seri Setia Lim Jock Seng semalam bahawa isu tuntutan ke atas wilayah itu tidak dibincangkan semasa mesyuarat antara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Abdullah baru-baru ini.

No comments: