Saturday, February 28, 2009

Milan tersingkir daripada Piala UEFA


PARIS - Juara Eropah tujuh kali, AC Milan menerima tamparan hebat apabila tersingkir daripada Piala UEFA selepas seri 2-2 dengan Werder Bremen di San Siro, semalam.

Turut terkeluar awal daripada kejohanan kelas kedua Eropah itu adalah kelab Liga Perdana England, Aston Villa yang tumbang 0-2 di CSKA Moscow, sekali gus tersingkir menerusi agregat 3-1.

Selepas terikat 1-1 di Villa, kelab England itu membuat kesilapan besar apabila membariskan pasukan kedua di Moscow.


Bagaimanapun, cabaran England dalam Piala UEFA diteruskan oleh Manchester City yang menyingkirkan FC Copenhagen dari Denmark menerusi agregat 4-3 selepas menang 2-1 di Manchester, semalam.

Penyandang juara, Zenit St. Petersburg juga berjaya mengelak daripada mengalami kejutan apabila menumpaskan kelab Jerman, Stuttgart 2-1 di tempat lawan, dan mara dengan agregat 4-2.

Di Milan, dua jaringan penyerang Peru, Claudio Pizarro pada babak kedua membawa Werder ke peringkat 16 terbaik menerusi peraturan gol tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 3-3 setelah perlawanan pertama minggu lalu berkesudahan 1-1.

Semalam, Milan memulakan permainan dengan menyakinkan apabila membuka jaringan menerusi sepakan penalti Andrea Pirlo pada minit ke-27 selepas Torsten Frings mengadang tendangan bebas David Beckham (gambar) menggunakan lengan.

Malah, tuan rumah semakin yakin apabila mengukuhkan kedudukan menerusi penyerang Brazil, Alexandre Pato pada minit ke-33 untuk meletakkan mereka mendahului 3-1 menerusi agregat.

Ketinggalan 0-2 pada babak pertama tidak mematahkan semangat Werder untuk bangkit, dan kelab Jerman itu meningkatkan serangan sejurus separuh masa kedua bermula.

Kerja keras Werder berhasil apabila Pizarro merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-68 selepas menanduk sepakan percuma Diego, dia kemudian menambah gol kedua, juga menerusi tandukan di minit ke-78.

Kemenangan itu bakal menemukan Werder dengan kelab Perancis, Saint-Etienne, yang mara selepas menyingkirkan wakil Greece, Olympiakos menerusi agregat 5-2.

Di Moscow, tuan rumah menggunakan kesempatan penuh atas tindakan jurulatih Villa, Martin O'Neill merehatkan tonggak utama.

Menanti mereka pada pusingan seterusnya adalah Shakhtar Donetsk dari Ukraine, yang mengecewakan satu lagi kelab England, Tottenham menerusi agregat 3-1 selepas pertemuan di London semalam berakhir 1-1.

Sementara itu, di Manchester, Craig Bellamy muncul wira City apabila menjaringkan dua gol untuk membawa pasukan itu bertemu Aalborg dari Denmark, yang mara menerusi agregat besar 6-1 ke atas wakil Sepanyol, Deportivo La Coruna. - Reuters

No comments: