Saturday, February 28, 2009

Liverpool kembali ke alam nyata


LONDON - Selepas mencatat kemenangan bermakna ke atas Real Madrid, kelmarin Liverpool kembali ke alam nyata dengan fokus segera dialih kepada pertemuan Liga Perdana England menentang Middlesbrough, hari ini.

Kemenangan 1-0 ke atas gergasi bola sepak Sepanyol, Real di Santiago Bernabeu memberi motivasi tambahan buat anak-anak buah Rafael Benitez untuk mengharungi aksi domestik dengan lebih berkeyakinan.

Selepas mempamerkan disiplin tinggi ketika kunjungan ke Madrid, skuad Reds kini bersedia mengulangi persembahan yang serupa untuk mengejar pendahulu liga, Manchester United yang memegang kelebihan tujuh mata.

Pada ketika United tidak beraksi dalam saingan liga minggu ini kerana terlibat dengan final Piala Liga menentang Tottenham esok, Liverpool berpeluang merapatkan jurang mata kepada empat.

Begitupun sejarah mereka dalam setiap kunjungan ke Stadium Riverside agak meresahkan kerana tidak pernah menang di gelanggang tersebut sepanjang dibimbing oleh Benitez.

Daripada empat kunjungan terakhir ke Boro, Liverpool kalah sekali dan seri tiga kali.

Malah, mereka juga harus memberi perhatian kepada rekod kurang memberangsangkan dalam saingan terakhir liga apabila seri empat daripada enam perlawanan.

Liverpool yang seri enam daripada 13 perlawanan di tempat sendiri, musim ini perlu mengelak daripada kehilangan mata kerana ia hanya akan membuka ruang kepada Chelsea dan Aston Villa untuk memintas.

Benitez mungkin menghadapi sedikit kesukaran menurunkan pasukan terkuat pada ketika bintang penyerang, Fernando Torres masih dibelenggu kecederaan kaki dan kapten, Steven Gerrard pula belum cergas sepenuhnya.

Boro, yang menduduki tangga kedua tercorot gagal mencatat kemenangan daripada 14 perlawanan terakhir liga sejak kemenangan terakhir, 2-1 ke atas Villa pada Disember lalu. - AFP

No comments: