Sunday, March 15, 2009

Mussen Lamoh bertanding di Batang Air

000049618.jpg

KUCHING 14 Mac – Barisan Nasional (BN) Sarawak bersetuju sebulat suara mencadangkan Malcom Mussen Lamoh (gambar), 49, dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air pada 7 April ini.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pengumuman rasmi mengenai nama calon itu akan dibuat dalam tempoh terdekat ini setelah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi BN.

Dalam pada itu, Abdul Taib menggambarkan calon yang dipersetujui itu sebagai seorang yang mendapat sokongan cukup baik daripada akar umbi serta seluruh kawasan yang bakal diwakilinya.

“Calon ini mempunyai personaliti yang cukup menarik, mempunyai rekod yang baik malah paling penting ialah mahu menunjukkan keinginan berkhidmat untuk rakyat.

“Saya sendiri secara peribadi berkeyakinan kepada calon ini yang sekali gus akan membawa kemenangan kepada BN pada pilihan raya kecil nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa BN Negeri di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jalan Bako pada petang ini

Mussen merupakan Jurutera Jabatan Pertanian dan berasal dari Lubok Antu.

No comments: