DOA AWAL DAN AKHIR TAHUN - ADAKAH IA BENAR ATAU BATHIL? Copy and paste
Insya Allah pada kali ini, kita akan membuat kesimpulan/ringkasan mengenai isu amalan awal muharam. Untuk memudahkan kita, Kami akan mengkhususkan kesimpulan kita ini berkisar mengenai amalan doa awal dan akhir tahun.
Berikut adalah doa yang dimaksudkan:
Awal tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".
Akhir tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku emohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".
Manakala berikut ini adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang sering kelihatan:
Ibnu Abbas berkata: "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu".
Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun".
Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".
Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah.
Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam.
Kami telah cuba untuk mencari serta menjejak kesemua fadhilat serta kaedah pembacaan di atas, namun sayangnya hasil pencarian kami tidak membuahkan sebarang hasil. Bukan hanya kitab-kitab hadis sittah, malahan kitab hadis dhaif dan palsu juga telah kami cuba mencarinya namun hasilnya serupa, hampa.
Bukan di situ sahaja usaha kami, bahkan fatwa-fatwa dan sumber dari ulama-ulama luar negara selain nusantara telah kami selongkar, tapi juga tidak membuahkan hasil. Maka kami telah membuat kata putus bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih.
Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang beerti:
Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak.
Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. Dan Allah Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang bermaksud:
Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka. Hadis Mutawtir
Ibnu Masud pernah berkata yang bermaksud:
Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw).
Ibnu Abbas juga pernah berkata:
Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru.
Kesimpulan
Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menaylahgunakan konsep berdoa itu yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun.
Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud:
Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bidah manakala setiap bidah adalah sesat. Hadis riwayat Muslim
Dalam hadis riwayat An-Nasai pula terdapat tambahan:
.dan setiap kesesatan itu di dalam neraka.
Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan hanya ada awal dan akhir tahun sahaja.
Beginilah pendapat dan pegangan kami. Sekiranya terdapat sesiapa yang mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya kami hanyalah hamba Allah yang lemah.
Sekian. Wassalam
Rujukan
Fatwa Islamiyah
-Sheikh Abdul Aziz bin Baz
-Sheikh Muhammad bin Salih Al-Uthaimin
-Sheikh Abdullah bin Abdur-Rahman Al-Jibreen
-The Permanent Committee and the decisions of Fiqh Council
Disusun oleh Muhammad bin Abdul Aziz al-Musnad
Khilafiah, Bidah dan Maslahah Umum
Oleh Ustaz Basri Ibrahim
Bidah Menurut Ahli Sunnah
Oleh Rasul Dahri
Dua The Weapon of the Believer
Oleh Abu Ammaar Yasir Qadhi
Islam Question and Answer website
http://63.175.194.25/index.php?ln=eng&ds=qa&lv=browse&CR=0&dgn=3
http://islam.tc/ask-imam/index.php
www.al-ahkam.com.my
2 comments:
Alhamdulillah, terima kasih dgn maklumat ini.. saya memang konfius apabila tiap2 tahun di malaysia sllu diadakan amalan ni tetapi bila saya duduk di Saudi, tak ada pula amalan ini dilakukan. Sekarang fahamlah ianya hanya amalan dibuat oleh org islam kita, terutama org melayu.
xupdate
Post a Comment