Seorang bekas pelajar Kolej New Era, Lim Ken Zhi dihukum dua hari penjara selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap presiden Dong Zong (DZ), Yap Sin Tian awal tahun ini.
Mahkamah Majistret Kajang juga mengenakan hukuman RM6,000 atau penjara sebulan terhadap Lim
Lim, 22, dari Ulu Tiram, Johor, mengaku bersalah menumbuk Yap di dalam dewan konvokesyen di Jalan Bukit Kajang, pada jam 10.10 pagi 11 Januari lalu.
Kesalahan tersebut boleh membawa hukuman maksima tujuh tahun penjara dan denda.
Timbalan Pendakwaraya (DPP), Nurul Ain Abdul Rahim mengesahkan Lim tidak merayu terhadap hukuman tersebut dan telah dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman.
Sebelum itu, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Lim memohon Majistret Nurdiana Mohd Nazari menjatuhkan hukuman ringan serta memberi sembilan sebab untuk menyokong rayuannya itu.
Ia termasuk tindakan Lim menyerah diri kepada polis, mengaku bersalah dan kemudiannya memohon maaf kepada Yap.
Menurutnya, tindakan itu menunjukkan tertuduh menyesal dengan perbuatannya itu.
Wong berkata, tertuduh telah menghantar surat sebanyak dua kali kepada Yap untuk memohon maaf serta menyatakan kesediaannya untuk membayar gantirugi.
Bagaimanapun, kata peguam itu, Yap tidak membalas surat tersebut.
Wong juga menjelaskan bahawa Lim hilang kawalan ekoran kontroversi yang membabitkan Kolej New Era dan bukan sesuatu yang dirancang.
Oleh itu, Wong merayu kepada mahkamah supaya menimbang menjatuhkan hukuman maksima denda RM10,000 dan gantirugi RM30,000 manakala hukuman penjara sebagai pilihan terakhir.
Bagaimanapun, Nurul Ain membantah dan berkata kepentingan awam harus diutamakan, dan oleh itu mahu tertuduh dijatuhkan hukuman yang berat.
Bapa Lim enggan bercakap dengan pihak media selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, manakala ibunya kelihatan begitu sedih.
Kejadian pada 11 Januari itu berlaku ketika Yap, 70, sedang berucap di majlis konvokesyen Kolej New Era.
Lim naik ke atas pentas dengan memakai baju T berwarna hijau, yang sebelumnya dipakai oleh kakitangan yang mengendali acara mengutip dana.
Hadirin di dalam dewan tersebut menyangka beliau hendak membetulkan mikrofon.
Bagaimanapun, Lim secara tiba-tiba bertindak menumbuk muka Yap dan terus beredar dari situ. Yap mengalami kecederaan pada tulang pipinya.
Insiden tersebut mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik, yang dikaitkan dengan keputusan kolej itu tidak memperbaharui kontrak bekas dekannya, Dr Kua Kia Soong. Beliau bagaimanapun menafikan sebarang pembabitan dengan insiden tersebut.
Yap berkata, beliau tidak berdendam terhadap penyerangnya itu, tetapi menegaskan ia adalah satu perkara yang serius.
episod kena tumbuk: klik sini
No comments:
Post a Comment