Proses peralihan kuasa kepemimpinan negara bermula semalam apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat melepaskan jawatannya dan memohon perkenan melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri keenam.
Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan serta sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka akan diadakan di Istana Negara pada jam 10 pagi ini.
Majlis penyerahan nota serah tugas Perdana Menteri oleh Abdullah kepada Najib pula dijadual berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 4 petang.
Pelantikan Najib mengulangi sejarah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang memegang jawatan nombor satu dalam kerajaan dari 1970 hingga meninggal dunia pada 14 Januari 1976.
Beliau pernah menjadi Menteri Pendidikan (1995-1999) serta dua kali sebagai Menteri Pertahanan pada Oktober 1990 hingga April 1995 dan dari Disember 1999 sebelum berpindah ke Kementerian Kewangan pada 17 September 2008.
No comments:
Post a Comment