Friday, April 17, 2009

ADUN Penanti letak jawatan

LETAK JAWATAN... Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkuat kuasa hari ini.

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu, yang diumumkan sembilan hari selepas pendiriannya melepaskan jawatan Exco dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkuat kuasa 8 April lalu, akan membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat menentukan tarikh pilihan raya sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

"Kami akan mengadakan mesyuarat sebaik sahaja dimaklumkan oleh Speaker... SPR tidak akan melewatkan pilihan raya kecil," kata beliau ketika dihubungi.

Kerusi DUN Penanti terletak dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang disandang oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi tadi, Fairus berkata: "Keputusan ini bertujuan untuk membolehkan saya memberikan tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat pascasiswazah dan sekali gus memberikan masa kepada saya untuk bersama dengan keluarga."

Jelas beliau, peletakan jawatan tersebut adalah sebagai langkah membersihkan nama baiknya yang tercemar selama ini.

No comments: