Thursday, March 12, 2009

Kerajaan tak hasrat guna tentera bantu polis

KUALA LUMPUR 11 Mac — Kerajaan tidak berhasrat menggunakan tentera bagi membantu polis untuk mempertahankan kawasan strategik dan berisiko tinggi di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata polis masih mampu menjaga keselamatan rakyat dan tugas itu tidak sesekali membebankan atau menyukarkan pasukan berkenaan.

“Memang kemelesetan ekonomi global akan menyebabkan peningkatan kadar jenayah dan ini memerlukan lebih ramai anggota polis di merata tempat.

“Bagaimanapun, polis masih mampu menjaga keamanan termasuk di kawasan strategik dan berisiko tinggi. Kementerian sendiri mengharapkan sokongan rakyat sebagai antara elemen penting untuk mencegah jenayah bersama bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) mengenai sama ada tentera perlu membantu polis mengawal kawasan strategik termasuk lapangan terbang berikutan peningkatan kadar jenayah meningkat akibat kemelesetan ekonomi.

Syed Hamid mengakui terdapat peningkatan kes jenayah di seluruh negara sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan yang paling ketara ialah kes samun tanpa senjata api yang meningkat kepada 26,763 kes pada tahun lepas berbanding 24,328 kes pada 2007, iaitu peningkatan sebanyak 10.1 peratus.

“Jenayah pecah rumah dan curi turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 1,998 kes atau 5.95 peratus, menjadikan jumlah kes yang dilaporkan pada 2008 adalah sebanyak 35,558 kes berbanding 33,590 kes pada tahun sebelumnya,” katanya.

Syed Hamid berkata kes curi motosikal bagaimanapun mencatatkan penurunan sebanyak 247 kes iaitu hanya 67,359 kes dilaporkan pada tahun lepas berbanding 67,606 pada 2007.

“Jenayah curi juga turut mencatatkan penurunan sebanyak 3,431 kes yang menjadikan jumlah kes curi yang dilaporkan pada 2008 adalah sebanyak 41,215 kes berbanding 44,646 pada tahun 2007,” katanya.

Beliau berkata pelbagai langkah telah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai strategi jangka pendek bagi menurunkan kadar jenayah seperti mewujudkan lebih banyak balai atau pondok polis komuniti.

“Sebanyak 115 buah balai atau pondok polis komuniti telah ditempatkan di empat kontinjen iaitu di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Setiap tahun juga antara 10,000 hingga 12,000 pengambilan anggota polis baru dibuat bagi mencapai sasaran penambahan keanggotaan seramai 60,000 sehingga 2012,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama semua pihak terutamanya masyarakat umum dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) membantu PDRM menangani jenayah masa kini.

Semasa menjawab soalan Tan Ah Eng (BN-Gelang Patah), Syed Hamid berkata sejumlah 8,622 permohonan permit masuk dan sebanyak 3,524 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan dari tahun 2001 hingga tahun lepas.

— BERNAMA

No comments: