Thursday, March 12, 2009

Israel larang aktivis Palestin ke Amsterdam


BAITULMAQDIS 11 Mac - Mahkamah Agung Israel semalam mengeluarkan perintah melarang seorang aktivis hak asasi Palestin daripada berlepas ke Amsterdam untuk menerima hadiah bagi pihak pertubuhannya.

Pengarah Al-Haq, Shawan Jabarin berharap dapat berlepas ke Belanda pada Jumaat ini untuk menerima 'Hadiah Geuzenpenning' bagi pihak pertubuhan hak asasi yang berpangkalan di Tebing Barat.

Jurucakap mahkamah Israel, Ayelet Filo, bagaimanapun berkata, Mahkamah Agung memutuskan "terdapat bukti Jabarin terlibat dengan pertubuhan pengganas dan kerana itu dia tidak akan dibenarkan ke luar negara atas sebab keselamatan."

Pada 1985, Jabarin didapati bersalah oleh sebuah mahkamah Israel kerana terlibat dalam kegiatan bagi pihak Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) dan menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan.

Israel meletakkannya dalam tahanan pentadbiran pada 1994 dengan mendakwa beliau masih aktif dalam PFLP.

Jabarin menafikan tuduhan itu.

"Saya menjadi aktivis dalam Al-Haq sejak 1987 dan bukan aktivis untuk Barisan Popular," kata beliau kepada akhbar Israel, Haaretz pada minggu lepas. - AP

No comments: