Thursday, March 12, 2009

8 pegawai menteri disiasat

KUALA LUMPUR 11 Mac – Lapan pegawai kanan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Rabu lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Hari ini sahaja, dua pegawai kanan menteri telah diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11.30 pagi.

Kesemua mereka yang disoal siasat telah memberi kerjasama sepenuhnya termasuk mengemukakan segala dokumen.

Difahamkan ketika soal siasat dijalankan menteri terlibat tiada di dalam pejabat.

“Setakat ini tiada serbuan, rampasan atau pun penahanan dilakukan. Semua pegawai terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya,” menurut sumber rapat kementerian itu di sini hari ini.

Sementara itu, pejabat Menteri Pelancongan dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan beberapa pegawainya telah diminta memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM.

Menurut kenyataan itu, kementerian dan Tourism Malaysia sedia bekerjasama dalam semua aspek siasatan .

‘‘Ini termasuk siasatan ke atas anak syarikat kementerian iaitu Pembangunan Pelancongan Nasional (Pempena) berhubung dakwaan salah guna dana.

‘‘Kita akan memberi bantuan kepada SPRM dengan keyakinan yang siasatan akan dijalankan secara adil dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada 6 Mac lalu, setiausaha politik kepada seorang menteri Kabinet ditahan di sebuah restoran di sini kelmarin kerana dipercayai menerima suapan lebih RM70,000.

Penahanan lelaki berusia dalam 40-an tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota SPRM setelah menjalankan intipan ketika menerima suapan kira-kira pukul 10.30 malam.

No comments: