Thursday, March 12, 2009

Gani, Musa tak bersalah kes mata lebam

PUTRAJAYA 11 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah seperti yang didakwa oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, selepas mengkaji secara teliti dan mendalam, majoriti ahli-ahli panel SPRM memperakukan bahawa tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua individu itu.

‘‘SPRM memandang berat dakwaan Anwar kononnya suruhanjaya ini tidak mengambil tindakan terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara ekoran aduan beliau kepada pihak polis pada Julai 2008.

‘‘Dalam aduannya, Anwar mendakwa Abdul Gani dan Musa telah memalsukan bukti atau keterangan siasatan kes serangan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor yang telah menyebabkan kecederaan ke atas dirinya suatu ketika dulu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aduan beliau telah dirujuk kepada polis dan pihak SPRM (ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) menjalankan siasatan secara terperinci dan telus.

Siasatan kes berkenaan dimulakan pada 2 Julai tahun lalu dan dilengkapkan dua bulan kemudian.

Ahmad Said berkata, pihak suruhanjaya dalam siasatannya memang mengambil kira bahawa subjek utama yang disiasat adalah Abdul Gani dan Musa.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan telah merakam percakapan saksi-saksi termasuk Anwar sendiri yang dibuat secara teratur melalui peguamnya.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu SPRM tidak mengambil kira tindakan siasatan berkaitan aduannya,

‘‘Memandangkan kes ini amat sensitif, berprofil tinggi dan berkepentingan awam dan mengambil kira tanggapan dan persepsi negatif yang mungkin timbul, SPRM telah mencadangkan tiga ahli panel bebas dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes ini,” katanya.

Mereka terdiri daripada bekas-bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan yang berwibawa, berintegriti dan dihormati oleh masyarakat.

Pelantikan mereka sebagai Timbalan Pendakwa Raya dibuat oleh PeguamCara Negara.

Sementara itu di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut menjawab soalan mengenai isu yang sama hari ini.

Antara lain soalan tambahan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mengenai bila keputusan itu dibuat dan adakah kerajaan bersedia mencadangkan satu pindaan undang-undang supaya dihadkan masa bagi setiap siasatan yang dilakukan oleh polis.

No comments: