Thursday, March 12, 2009

Harga saham ditutup rendah semalam

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, sekali gus menghapuskan keuntungan awal dengan aktiviti pengambilan untung dilihat terutama di kalangan kaunter mewah dan berkaitan indeks, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) lega 4.88 mata atau 0.571 peratus kepada 850.37 selepas dibuka 5.31 mata lebih tinggi pada 860.56.

Peniaga berkata aktiviti di bursa tinggi pada sesi pagi, dirangsang oleh pakej rangsangan RM60 bilion yang diumumkan kerajaan semalam.


Bagaimanapun, pasaran gagal untuk mengekalkan prestasinya pada penutup kerana pelabur enggan mengambil pegangan baru ekoran keadaan yang tidak menentu.

"Persekitaran luaran yang begitu mencabar bermakna pasaran ekuiti akan melihat situasi kemudah ruapan berpanjangan, dan saham mewah terutama kaunter kewangan dan perladangan akan terjerumus kepada tekanan jualan," kata seorang peniaga.

Peniaga itu juga berkata yang sentimen pasaran yang tertekan kemungkinan mengehadkan sebarang kenaikan, sambil menambah yang halangan serta-merta ialah pada sekitar paras 800 mata dan sokongan pada 850 mata untuk urus niaga esok.

Indeks kewangan merosot 88.35 mata kepada 6,274.1, Indeks Perindustrian mengukuh 2.81 mata kepada 2,059.66 dan Indeks Perladangan turun 20.92 mata kepada 4,375.6.

Untuk siri Indeks FTSE-BM, FBMEmas mengecil 40.44 mata kepada 5,432.09, FBM30 susut 46.6 mata kepada 5,425.84, FBM2BRD 42.23 mata lebih rendah pada 3,874.9 dan FBM-MDQ berkurangan 66.93 mata kepada 2,998.27.

Saham rugi mengatasi saham untung dengan 296 berbalas 199, 220 kaunter tidak berubah dan 552 tidak diniagakan sementara 52 yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan menokok kepada 375.129 juta saham bernilai RM552.665 juta berbanding 372.025 juta saham bernilai RM785.163 juta semalam. - Bernama

No comments: