Thursday, March 12, 2009

Ibrahim Ali cadang imuniti Anggota Parlimen dihapus

KUALA LUMPUR 11 Mac — Datuk Ibrahim Ali, satu-satunya wakil rakyat Bebas, mencadangkan supaya imuniti dan kekebalan Anggota Parlimen dihapuskan supaya mereka lebih bertanggungjawab dengan apa yang diucapkan.

Ibrahim (Bebas-Pasir Mas) berkata kekebalan itu perlu ditarik balik memandangkan Raja-raja dan Sultan sendiri pun tidak mempunyai kekebalan.

“Kita di sini boleh cakap apa saja. Memang ada peraturan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan tetapi tidak mencukupi,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 di Dewan Rakyat hari ini. Ibrahim berkata Anggota Parlimen tidak perlu takut untuk menyentuh perkara tertentu sekiranya mempunyai bukti dan maklumat sahih mengenai apa yang mereka bangkitkan.

Beliau juga mencadangkan supaya rakyat Malaysia yang layak mendapatkan kad pengenalan pada peringkat umur 12 tahun supaya mengangkat sumpah kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan Rukun Negara.

Beliau berkata perkara ini penting kerana pelbagai perkara berlaku kebelakangan ini disebabkan generasi muda kurang pengetahuan sejarah, dan jika tidak disedarkan dengan segera, ia boleh menjurus ke arah kehancuran.

Ibrahim juga mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sejarah yang bersabit dengan kontrak sosial kerana ia penting untuk rakyat Malaysia.

“Kepada pembangkang dan kerajaan, kedua-dua juga perlu bermuhasabah diri.

Saya pun ingatkan diri saya sendiri. Semua orang tahu sama tahu, pemain yang sama, tukar tempat sahaja,” katanya.

Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) pula berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk memberikan janji sebanyak 20 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak dan Terengganu sekiranya pakatan pembangkang memerintah.

“Dulu pun kata ada 30 Anggota Parlimen Sabah dan Sarawak yang melompat ke parti pembangkang 16 Sept tahun lepas. Ini pembohongan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang yang sama.

— BERNAMA

No comments: