Saturday, February 28, 2009

Pekerja diberhentikan berpeluang mohon pinjaman mikro

PEKAN 28 Feb. — Pekerja yang diberhentikan akibat krisis ekonomi global berpeluang memohon pinjaman mikro kredit bagi menceburi bidang pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata kementerian telah memohon peruntukan tambahan dari Kementerian Kewangan untuk disalur kepada mereka yang berminat.

Beliau berkata peruntukan itu, jika diluluskan akan disalur melalui Agrobank pada kadar faedah yang rendah.

Mustafa berkata peruntukan berjumlah RM400 juta sedia ada pada masa ini hampir keseluruhannya telah diagihkan kepada pemohon yang layak.

“Kita galakkan mereka terutama mereka yang hilang pekerjaan untuk menceburi bidang pertanian tetapi dengan syarat mereka perlu ada tanah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Masyarakat Nelayan, Petani dan Penternak Peringkat negeri Pahang di Kuala Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Datuk Abdul Rahim Ismail.

Mustapa berkata mereka yang berminat akan diberikan pendedahan dari segi teknikal dan pemasaran daripada agensi yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Mustapa berkata kementerian berusaha meningkatkan jumlah jentera dan peralatan di seluruh negara bagi membantu golongan petani dan penternak.

Beliau berkata sebanyak RM315 juta telah diperuntukkan bagi tahun ini dan 2010 untuk tujuan itu.

“Setengah daripada peruntukan telah diagihkan tetapi masih ada beberapa kawasan yang belum menerimanya. Kita akan semak perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata seramai 2,536 nelayan di Pahang telah menerima elaun sara hidup selain 1,102 nelayan pula menerima lesen sampan masing-masing setakat ini.

— BERNAMA

No comments: